Tuesday, September 16, 2014

Scotland bakal hilang taraf EU, NATO



PEREKA fesyen ternama, Vivienne Westwood yang menyokong kemerdekaan bergambar bersama bendera Scotland pada satu acara fesyen di London pada 14 September lalu. - REUTERS


BRUSSELS - Penduduk Scotland bukan sahaja terpisah daripada United Kingdom (UK) tetapi turut hilang keanggotaan Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) jika mereka mengundi untuk merdeka pada referendum Khamis ini.
Beberapa pegawai EU berkata, proses untuk Scotland kembali menganggotai EU akan mengambil masa yang lama dan sukar.
"Scotland juga akan kehilangan beberapa keistimewaan yang dinikmati UK termasuk pengunaan mata wang pound sterling," kata mereka.
Di pihak NATO pula, ketegasan barisan pemimpin tempatan yang mahu Scotland bebas daripada senjata nuklear menimbulkan masalah operasi dan strategik kepada pakatan tersebut.
"Satu pelabuhan induk baharu perlu dicari untuk empat kapal selam Tentera Laut Diraja Britain yang kini berpangkalan di Clyde, Scotland," kata mereka.
"Perubahan ini berisiko menjejaskan pakatan pertahanan dan pencegahan sekutu NATO," kata Kementerian Pertahanan UK dalam satu kenyataan.
Selain dua senario tersebut, kemunculan sebuah negara baharu sebesar Republik Czech dan mempunyai 5 juta penduduk di Eropah Barat itu akan turut memberi kesan daripada sudut sosial dan politik yang sukar untuk dijangka.
Beberapa pakar berkata, kehilangan Scotland akan menyebabkan kumpulan politik di England, Wales dan Ireland Utara yang mahu UK keluar daripada EU bertambah kuat di Parlimen.
Sementara itu, penduduk di beberapa wilayah lain di Eropah termasuk Catalonia di Sepanyol, Flemish di Belgium dikhuatiri akan menuruti langkah Scotland untuk merdeka. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0916&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3DQlEqswy 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment