Saturday, September 20, 2014

Scotland kekal bersama UK


PENYOKONG kem 'Tidak' yang menentang kemerdekaan Scotland meraikan keputusan pungutan suara itu di Glasgow, Scotland, semalam. - AFP
EDINBURGH 19 Sept. - Penduduk Scotland menolak untuk menjadi sebuah negara yang merdeka sebaliknya mahu kekal bersama United Kingdom (UK) dalam keputusan rasmi pungutan suara yang diumumkan, hari ini.
Keputusan undian yang diumumkan itu menunjukkan, sebanyak 55.3 peratus penduduk Scotland menentang untuk berpisah berbanding 44.7 peratus rakyat yang bersetuju untuk merdeka.
Menurut pegawai kerajaan, sebanyak 84.6 peratus penduduk Scotland keluar mengundi, rekod tertinggi yang pernah dicatatkan dalam pilihan raya di Britain.
Kumpulan menentang yang menggelarkan mereka sebagai kem 'Tidak' di seluruh Scotland meraikan keputusan itu sejurus diumumkan, manakala aktivis yang menyokong perpisahan itu yang dikenali sebagai kem 'Ya' menangis tanda kecewa.
Keputusan undian itu sekali gus meranapkan impian ratusan ribu penduduk Scotland yang mengundi untuk berpisah semalam dalam undian yang tidak pernah berlaku sebelum ini yang membangkitkan debat tentang tadbir urus di Britain dan kebimbangan ramai tentang risiko berpisah dari UK.
PENYOKONG pro kemerdekaan hampa dengan keputusan rasmi yang dikeluarkan. - AFP
Malah, keputusan itu turut mengakibatkan pasaran kewangan UK menerima kesan besar dengan menyaksikan kenaikan nilai pound berbanding dolar Amerika di pasaran matawang.
"Kami tahu bahawa akan berlaku majoriti bagi kempen 'Tidak'. Penduduk Scotland dengan majoriti memutuskan untuk tidak (berpisah) pada peringkat ini untuk menjadi sebuah negara yang merdeka," kata ketua kerajaan Scotland, Menteri Pertama Alex Salmond yang pro kemerdekaan di sini.
Keputusan itu sekali gus satu tamparan hebat kepada cita-cita politik sepanjang hayat Salmond walaupun keputusan meyakinkan dari blok 'Ya' menunjukkan kemungkinan akan ada usaha bagi satu pungutan suara mencapai kemerdekaan pada masa akan datang.
Sementara itu, Perdana Menteri Britain, David Cameron ketika mengulas mengenai keputusan pungutan suara berkenaan berjanji untuk berpegang kepada komitmen yang dibuat menjelang undian tersebut termasuk rancangan kepada kuasa baharu cukai, perbelanjaan dan kebajikan.
Katanya, pelan itu akan dipersetujui menjelang November ini dengan draf undangundang akan dibuat pada Januari nanti.
"Kami akan memastikan komitmenkomitmen itu dihormati secara penuh," kata Cameron. - AFP/AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140920/lu_01/Scotland-kekal-bersama-UK#ixzz3DnxAUl6t
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment