SYDNEY 19 Sept. - Kumpulan pertama telefon pintar iPhone 6 mula dijual di Australia hari ini, sekali gus menamatkan penantian ribuan peminat gajet itu dari seluruh dunia yang mula beratur di luar kedai Apple di sini, sejak beberapa hari lalu.
Di Sydney sahaja, kesabaran kira-kira 1,200 peminat iPhone yang berbaris sehingga beberapa blok bangunan berakhir selepas pintu kedai Apple mula dibuka pada pukul 8.01 pagi waktu tempatan, lapor Mail Online.
Malah terdapat laporan yang menyatakan berlaku kekecohan antara peminat Apple dengan polis di utara Sydney selepas pasukan keselamatan itu mengarahkan seorang lelaki berundur kerana memotong barisan.
Seorang lelaki dari California yang hanya mahu dikenali sebagai Jack, muncul sebagai peminat pertama berjaya mendapatkan gajet itu dari kedai Apple di Perth yang dijual pada harga AS$869 (RM2,815) bagi iPhone 6 dan iPhone 6 Plus pada harga AS$999 (RM3,236).
Bagaimanapun, sewaktu Jack menunjukkan iPhone 6 yang baru dibelinya kepada wartawan sejurus dia mahu meninggalkan kedai tersebut, gajet itu secara tiba-tiba terjatuh di atas lantai.
Peminat yang beratur dan melihat kejadian itu kemudiannya mengeluh namun sewaktu Jack mengambil gajet miliknya itu, telefon pintar tersebut langsung tidak mengalami sebarang keretakan.
"Saya amat teruja kerana berpeluang memiliki telefon pintar skrin besar ini," kata David Rahmimi, peminat Apple dari California yang muncul sebagai individu pertama yang mendapatkan dua versi gajet iPhone 6 dan iPhone 6 Plus dari kedai Apple di Sydney.
Selain Sydney, kedai-kedai Apple di Brisbane, Melbourne dan Adelaide turut menjadi perhatian ramai peminat gajet itu selepas Australia menjadi antara negara terawal menjual gajet tersebut.
Menurut Apple, pihaknya menerima empat juta tempahan awal iPhone 6 dan iPhone 6 Plus pada hari pertama pelancarannya, meningkat daripada dua juta semasa pelancaran iPhone 5, dua tahun lalu.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140920/lu_09/IPhone-6-mula-dijual#ixzz3DnvO8XwB
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment