Wednesday, September 24, 2014

Akta Hasutan, kerajaan hipokrit


MUHAMMAD FAIZAL | .
KUALA LUMPUR: Kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terus bersikap hipokrit dalam isu membabitkan Akta Hasutan 1948 apabila pelbagai pihak terus berdepan dengan tuduhan akta tersebut.

Setiausaha  Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Luham) Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus memberitahu, kerajaan tidak pernah serius dalam apa yang mereka janjikan terutama memansuhkan Akta Hasutan

"Seperti biasa apa yang BN katakan adalah janji-janji politik untuk menunjukkan mereka perihatin, seperti kata mansuh Akta Hasutan tetapi masih digunapakai.

"Akta ini akan terus digunakan sehingga pilihan raya akan datang dan BN ketika itu akan menunjukkan mereka sebagai hero dengan janji baru untuk kesediaan kerajaan memansuhkan akta tersebut," jelasnya kepada Harakahdaily.

Menurut beliau, Najib ketika mengumumkan pemansuhan akta tersebut sebagai mencari mekanisme yang dapat menentukan keseimbangan terbaik antara keperluan bersuara setiap warga Malaysia dan keperluan menangani masalah kemajmukan yang wujud di negara ini.

"Semua tidak berlaku, kebebasan bersuara terus disekat walaupun dikatakan akan mengantikannya dengan Akta Keharmonian Nasional. Ia tidak berlaku pun.

"Malah akta ini turut dilihat mempunyai sikap birokrasi apabila hanya mereka yang menyokong Pakatan Rakyat dikenakan tindakan.

"Sedangkan tiada kedengaran pula tindakan terhadap Perkasa mahupun Isma yang lantang diluar sana.

"Kita mahu kerajaan lebih telus dalam melaksanakan janji. Sebarang tindakan yang diambil ia perlu meliputi semua pihak dan bukan tertumpu kepada satu pihak semata-mata," sambung beliau lagi.

Dalam pada itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akant disoal siasat di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan pada Jumaat ini berkenaan dengan ucapan beliau pada Mac 2011 di Gombak. –HARAKAHDAILY 24/9/2014

No comments:

Post a Comment