Saturday, September 13, 2014

Lagi etnik Uighur dihukum mati


Beijing: Sebuah mahkamah semalam mengarahkan tiga tertuduh dihukum mati, manakala seorang lagi dipenjara seumur hidup kerana bersalah menyerang stesen kereta api di Kunming, Yunnan Mac lalu.

Keputusan itu diumum Mahkamah Pertengahan Perbandaran Kunming melalui akaun blog mikro badan itu sambil mendedahkan semua nama tertuduh.

“Perbicaraan hari ini menunjukkan kesungguhan kerajaan melindungi nyawa, harta, keselamatan dan kepentingan bersama semua etnik dengan mengenakan hukuman berat atas kesalahan keganasan,” katanya.

Tertuduh yang dihukum matidikenali sebagai Iskandar Ehet, Turgun Tohtunyaz dan Hasayn Muhammad.

Mereka didakwa mengetuai pertubuhan pengganas dan berniat membunuh.

Defendan keempat, Patigul Tohti, dipenjara seumur hidup kerana terbabit dalam serangan berkenaan dan berniat membunuh namun hukumannya diringankan kerana hamil ketika dalam tahanan.

Patigul Tohti ditembak sebelum ditangkap di stesen kereta api itu, manakala tiga tertuduh lagi ditahan beberapa hari sebelum serangan ketika mereka cuba melarikan diri dari China.

Secara keseluruhan lapan orang terbabit dalam serangan berkenaan namun hanya lima orang melaksanakannya.

Dalam keadian itu, sekumpulan penyerang Uighur dari Xinjiang menyerbu stesen kereta api Kunming dengan bersenjata pedang menyebabkan 31 maut dan 141 lagi cedera.



Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/13

No comments:

Post a Comment