MAKKAH - ARAB SAUDI. Pegawai dagang yang ditahan kerana menunaikan ibadah Haji tanpa permit akan dihantar pulang kerana melanggar peraturan, manakala jemaah tempatan akan diambil cap jari sebelum dihantar pulang ke bandar masing-masing sementara menunggu hukuman.

Portal dalam talian Arab News, www.arabnews.com, pada Jumaat melaporkan tahun ini, kerajaan Arab Saudi akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menunaikan Haji tanpa permit.

Arab News memetik Ketua Polis Makkah, Mejar Jeneral Abdulaziz Al-Asouli sebagai berkata, bahawa ini adalah julung kali peraturan itu dilaksanakan di kota suci itu.

Menurutnya pasukan polis menugaskan lebih ramai anggota di Makkah untuk melakukan pemeriksaan secara rambang.

Pihak berkuasa juga memperketat pengawasan di jalan-jalan menuju ke Makkah dari Madinah, Taif dan Jeddah.

Setakat Jumaat, sejumlah 13,179 jemaah Malaysia sudah tiba di Tanah Suci dengan 7,586 jemaah berada di Makkah dan bakinya di Madinah. - Bernama