Saturday, September 6, 2014

NATO hantar tentera


Dalam usaha membalas tindakan agresif Russia, pemimpin NATO semalam meluluskan perancangan untuk menghantar ribuan anggota tentera ke timur Eropah sebagai langkah berjaga-jaga jika salah satu negara sekutunya di rantau itu diserang.

Setiausaha Agung NATO Anders Fogh Rasmussen berkata, unit baru itu bertujuan menghantar mesej jelas kepada sesiapa yang merancang melakukan serangan, terutama Russia.

“Jika anda cuba menyerang satu sekutu kami, anda perlu berdepan kami semua,” katanya pada akhir sidang kemuncak NATO.

Rasmussen berkata, kehadiran tentera itu akan memastikan NATO terus berada di timur Eropah dan akan dilakukan secara bergilir-gilir.

Buat masa ini, belum ada keputusan akhir mengenai lokasi pangkalan tenaga tentera itu, namun Rasmussen berkata Poland, Romania dan negara Baltik masing-masing bersetuju menyediakan kemudahan diperlukan.

Selain itu, Rasmussen turut menyatakan pendirian NATO ‘bersedia membantu’ Iraq menentang kumpulan militan, namun belum menerima sebarang permohonan bantuan daripada kerajaan berkenaan.

Sidang kemuncak itu diadakan serentak dengan permulaan rundingan damai membabitkan Ukraine, Russia dan penentang pemisah pro-Russia yang bermula semalam di Minsk, Belarus.



Perbincangan diharapkan mencapai gencatan senjata bagi mengakhiri pertempuran sejak beberapa bulan lalu antara pihak berkuasa Ukraine dan pemisah pro-Russia.

Walaupun Presiden Ukraine Petro Poroshenko kelihatan agak optimistik dengan perbincangan diadakan, pemimpin Barat tetap curiga dengan motif Russia.

Amerika Syarikat (AS) dan Eropah masing-masing memberi amaran mengenai kesediaan melakukan lebih banyak sekatan ekonomi terhadap Russia, malah Rumah Putih memberi gambaran ia mungkin dilakukan dalam masa terdekat.

Pada masa sama, Perdana Menteri Britain David Cameron berkata, negaranya bersedia menyumbang 3,500 anggota tentera untuk pasukan berkenaan dengan beribu pejabat di Poland manakala stok peralatan diperlukan dihantar segera.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/06

No comments:

Post a Comment