Saturday, September 6, 2014

Polis buka kertas siasatan kes kematian Beng Hock

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh, berkata dalam satu kenyataan hari ini satu pasukan khas yang diketuai Timbalan Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Amar Singh Ishar Singh akan memulakan siasatan dalam tempoh terdekat termasuk memanggil semula semua saksi dan memeriksa lokasi kejadian.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan hari ini menukar keputusan terbuka dalam kes kematian setiausaha politik daripada DAP Teoh Beng Hock dan memutuskan bahawa kematiannya itu akibat tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali.
Panel tiga anggota diketuai Hakim Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, membuat keputusan itu sebulat suara dan memerintahkan supaya siasatan lebih terperinci dijalankan berkaitan kematian itu, tanpa mengecualikan pegawai daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketiga-tiga anggota panel itu menyediakan penghakiman bertulis masing-masing. Dua lagi hakim ialah Datuk Mah Weng Kwai dan Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer.
Panel itu memerintahkan supaya diketepikan keputusan terbuka yang dibuat Mahkamah Koroner dan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menolak permohonan semakan semula.
Mah, yang membacakan penghakiman beliau terlebih dahulu, memutuskan bahawa kematian Teoh adalah kematian dalam tahanan iaitu ketika berada dalam tahanan pegawai SPRM.
Beliau berkata, Teoh dipanggil ke pejabat SPRM sebagai seorang saksi dan tertakluk kepada soal siasat sehingga awal pagi, yang jelas menunjukkan bahawa hak beliau telahpun dicabuli.
Mengenai kemungkinan Teoh membunuh diri, Mah menolak kemungkinan itu, dengan berkata tulisan tangan pada nota bunuh diri yang didakwa ditulis Teoh tidak boleh disahkan pakar sebagai tulisannya.
Tambahan pula, katanya, perilaku Teoh sebelum insiden itu jelas menunjukkan bahawa beliau berkeadaan waras dan sedang sibuk membuat persiapan untuk hari perkahwinannya.
Mah turut merujuk dengan terperinci kepada pandangan dua pakar ketika menolak bunuh diri sebagai kemungkinan penyebab kematian seperti yang dicadangkan oleh peguam yang mewakili SPRM semasa inkues.

No comments:

Post a Comment