Sunday, October 5, 2014

19 penunjuk perasaan ditahan


Seorang lelaki ditahan oleh anggota polis selepas berlaku pertempuran antara kumpulan pro-demokrasi dan penentang Occupy Cenral di Hong Kong, kelmarin. - AFP
HONG KONG 4 Okt. - Polis Hong Kong menahan 19 orang penunjuk perasaan termasuk lapan orang yang didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan kongsi gelap, selepas penunjuk perasaan pro-demokrasi bertempur dengan pihak berkuasa sehingga menyebabkan banyak yang cedera,
Tindakan itu diambil selepas berlaku pertempuran antara kumpulan pro-demokrasi dan anti-Occupy (penentang tunjuk perasaan) sehingga mendorong pelajar membatalkan rundingan dengan kerajaan ekoran kegagalan polis menghentikan pertempuran.
Persekutuan Pelajar Hong Kong berkata, mereka membatalkan rundingan dengan kerajaan selepas mengetahui terdapat rancangan untuk menjadikan perhimpunan berkenaan sebagai medan ‘keganasan’ oleh kumpulan samseng yang diupah khas untuk mencemarkan nama baik kumpulan penunjuk perasaan.
"Kami tiada pilihan selain membatalkan rundingan.
"Kerajaan dan pihak polis membutakan mata atas tindakan ganas yang dilakukan oleh samseng-samseng yang mahu menganggu tunjuk perasaan aman kami," kata wakil Persekutuan Pelajar Hong Kong (HKFS), salah satu daripada kumpulan pelajar yang berkumpul bagi menuntut hak autonomi yang lebih banyak daripada kerajaan China.
Sementara itu, dalam satu sidang media, polis menafikan mereka mempunyai hubungan dengan kumpulan kongsi gelap, sambil menambah kata, jumlah mereka yang cedera kini mencecah 12 dengan enam daripadanya merupakan pegawai polis.
Pemimpin Hong Kong, Leung Chun-ying kini berhadapan tekanan daripada penduduk Hong Kong yang mahukan beliau meletakkan jawatan, walaupun beliau mendapatkan sokongan daripada kerajaan China.
Dalam pada itu, Amnesty International mengecam tindakan polis menggunakan kekerasan ke atas pelajar `yang tidak melakukan apa-apa’, ketika kumpulan hak asasi manusia mendakwa mereka menjadi saksi bagaimana kaum wanita dipukul, dikasari dan dicabul di Causeway Bay and Mong Kok. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141005/lu_01/19-penunjuk-perasaan-ditahan#ixzz3FDQUV9S2
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment