Kuala Lumpur: Ketiadaan kawalan harga siling pada Aidiladha menyebabkan harga daging lembu segar di pasaran tidak sama dan berubah-ubah mengikut kawasan.
Tinjauan di Pasar Besar Jalan Othman, Petaling Jaya, dekat sini mendapati harga sekilogram daging segar dan batang pinang adalah antara RM30 hingga RM31, daging pejal RM27 hingga RM30 manakala import RM16 dan RM18.
Di Pasar Besar Taman Tun Dr Ismail pula harga daging segar RM30, daging pejal RM29 hingga RM30 dan batang pinang RM31.
Sementara itu, maklumat diperoleh daripada seorang peniaga di sebuah pasar di Johor Bahru, Johor, daging segar dijual pada RM28 sekilogram manakala daging pejal RM18 hingga RM30 sekilogram mengikut jenis gred, batang pinang RM22 hingga RM23 dan daging import RM12 hingga RM18.
Peniaga daging yang mewarisi perniagaan itu daripada arwah bapanya Khairul Anuar Ab Majid, 19, berkata, dia jual daging mengikut harga pasaran hari biasa.
“Harga daging pejal dan segar dijual pada hari biasa dan Hari Raya Haji sama saja iaitu RM29 sekilogram tetapi kalau Hari Raya Puasa, saya jual ikut harga siling ditetapkan kerajaan iaitu RM26 sekilogram saja.
ORANG ramai membeli daging lembu di Pasar Jalan Othman, Petaling Jaya.
“Bagi daging batang pinang, harganya tetap tidak berubah iaitu RM31 sekilogram sama ada pada hari biasa atau musim perayaan.
“Biasanya harga daging berbeza-beza di setiap kawasan bergantung kepada pembekal masing- masing, apa yang saya faham kalau pembekal mengenakan harga tinggi, penjual juga terpaksa jual mahal sedikit kepada pengguna,” katanya.
Penjawat awam, Muhamad Naj- wan Adzmi, 28, berkata, dia kecewa harga daging di Pasar Besar Jalan Othman menjelang Aidiladha meningkat berbanding hari biasa.
“Saya biasa beli di pasar ini dengan harga RM26 hingga RM27 saja, tetapi hari ini (semalam) peniaga menaikkan harga sehingga RM30.
“Peniaga memberi alasan daging segar tempatan memang mahal kerana ia tidak campur dengan daging import. Peniaga mendakwa, kalau murah daripada itu daging itu mungkin dicampur dengan daging import.
“Jadi mahu tidak mahu, saya tiada pilihan membelinya juga untuk menyediakan juadah pagi raya kerana keluarga saya memang gemar makan daging lembu tempatan yang segar,” katanya.
Sebaliknya Rosli Mahzan, 59, dari Taman Medan, amat puas hati dengan harga barangan keperluan yang di Pasar Besar Jalan Othman kerana menganggap ia berpatutan.
“Selain semua barangan keperluan boleh dibeli di bawah satu bumbung, harganya masih berpatutan dan tidak terlampau mahal,” katanya.
Sementara itu, Nik Zainab Nik Yusof, 55, dari Damansara yang membeli barangan keperluan di sebuah pasar di Taman Tun Dr Ismail mengakui berlaku kenaikan harga menjelang perayaan.
“Saya tengok harga barang naik sedikit daripada biasa mungkin sebab nak raya atau harga minyak tengah naik sekarang.
“Tengok keadaan juga, kawasan sini mahal sikit tetapi di tempat lain mungkin murah lagi,” katanya.
No comments:
Post a Comment