Sunday, October 5, 2014

Bayi pertama lahir guna rahim derma


Paris: Seorang warga Sweden menjadi wanita pertama di dunia melahirkan bayi menggunakan rahim derma, lapor jurnal The Lancet semalam.

Bayi lelaki sihat itu dilahirkan bulan lalu dengan berat 1.8 kilogram.


Jurnal itu menyatakan, bayi dan ibunya itu dalam keadaan sihat.

Menurut penerbitan itu, bayi berkenaan dilahirkan melalui pembedahan Caesarean ketika berusia 31 minggu kerana ibunya mengalami masalah kehamilan.


“Si ibu tidak memiliki rahim sejak lahir kerana mengalami sindrom Rokitansky tetapi keadaan ovarinya baik,” lapor The Lancet.


Pakar perubatan berpendapat kejayaan itu amat bermakna kerana ia mengatasi sekatan terakhir dalam isu kesuburan wanita yang tiada rahim - sama ada kerana semula jadi atau pembedahan.

Wanita terbabit memperoleh rahim daripada seorang wanita lain berusia 61 tahun yang menjadi rakan keluarganya.


Wanita penderma sudah tujuh tahun mengalami menopaus.



Pemindahan itu dijalankan dalam pembedahan selama 10 jam pada tahun lalu.


Kehamilan itu berlaku apabila pakar perbidanan mengambil telur dari ovari dan dipertemukan dengan sperma pasangan terbabit.


Setahun selepas pembedahan pemindahan itu, satu embrio tunggal dimasukkan ke rahim berkenaan dan ujian tiga minggu kemudian menunjukkan tanda positif.


Rahim itu mengalami sedikit penolakan pada peringkat awal tetapi ia berjaya diatasi melalui ubat.


Prof Matts Braennstroem dari Universiti Gothenburg berkata, kejayaan mereka berdasarkan kepada penyelidikan intensif selama 10 tahun ke atas haiwan serta latihan pembedahan.


“Apa yang penting, kami membuktikan keberkesanan pemindahan rahim walaupun daripada wanita pascamenopaus,” katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/05

No comments:

Post a Comment