Tuesday, October 28, 2014

Bencana banjir mula melanda



MAHADZIR (tiga dari kiri) menghulurkan bantuan beras kepada seorang mangsa banjir di Kampung Charuk Pelanduk, Sik semalam.


SIK – Banjir mula melanda negeri Kedah apabila kira-kira 200 rumah di lapan buah kampung di sini semalam dinaiki air limpahan Sungai Jeniang yang berlaku selepas hujan lebat lebih enam jam bermula petang kelmarin.
Kampung yang dinaiki air mulai pukul 8 pagi semalam itu ialah Kampung Charuk Pelanduk, Tanjung Setar, Kemelong, Kuala Begia, Sungai Semiar, Charuk Padang, Tanjung Besar dan Kuala Teloi.
Bagaimanapun tiada mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sehingga lewat petang semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Mahadzir Abdul Hamid berkata, kebanyakan penduduk tidak boleh membawa keluar kenderaan kerana jalan masuk ke kampung digenangi air sehingga mencecah paras lutut.
“Briged Sukarelawan 1Malaysia daerah Sik juga diarah bersiap sedia bagi membantu mangsa banjir jika keadaan semakin buruk malam ini,” katanya ketika ditemui semasa melawat lokasi kejadian semalam.
Sementara itu, di Sintok, dua pelajar Universiti Utara Malaysia terperangkap di dalam kereta selepas Jalan Sintok-Bukit Kachi dinaiki air secara tiba-tiba akibat limpahan air Sungai Bukit Kachi kelmarin.
Ketika kejadian pukul 11.40 malam itu, Mohd. Saiful Afendi Azlan, 25, dan rakannya, Siti Nor Aishah Mohd. Zain, 24, dalam perjalanan ke kolej kediaman di Bukit Kachi.
Turut terperangkap ialah seorang penunggang motosikal, Nor Zaimi Ibrahim, 39, yang terpaksa berpaut pada tiang elektrik kerana arus deras.
Kesemua mereka berjaya di–selamatkan oleh pasukan bomba dan penyelamat.
Di Kelantan, banjir yang melanda Rantau Panjang kelmarin didapati semakin pulih apabila paras air Sungai Golok mula surut semalam.
Bacaan paras air Sungai Golok setakat pukul 7 malam semalam turun kepada 7.95 meter berbanding 8.61 meter kelmarin.
Beberapa buah kampung seperti Kampung Lanchang, Bukit Lata, Putat Tujuh, Jeram Perdah, Bongor dan Jejawi yang terlibat banjir sudah mula pulih.
Kebanyakan laluan masuk ke kampung itu juga boleh dilalui kenderaan.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1028&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz3HNkJX2rI 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment