Retno Lestari |
JAKARTA 27 Okt. – Buat kali pertama dalam Kabinet Indonesia, jawatan Menteri Luar negara disandang oleh diplomat kanan wanita, Retno Lestari Priansari Marsudi yang juga Duta Besar Indonesia ke Belanda.
Jakarta Globe melaporkan, Retno mempunyai pengalaman luas dalam hal ehwal luar negara yang biasanya didominasi oleh pemimpin lelaki.
“Indonesia memiliki banyak perkara yang boleh ditawarkan kepada dunia. Kita juga perlu bekerja keras untuk mengekalkan peranan di peringkat global,” katanya.
Retno, 52, yang disenaraikan sebagai seorang daripada 99 wanita berpengaruh oleh majalah Global Asia berkahwin dengan arkitek, Agus Marsudi dan memiliki dua cahaya mata.
Beliau merupakan lulusan Universiti Gadjah Mada, Yogyakarta dan memperoleh Ijazah Sarjana Undang-Undang dari Universiti Hague.
Retno dilantik sebagai Duta Indonesia ke Norway dan Iceland semasa berusia 42 tahun sebelum sebagai Ketua Pengarah Hubungan (Amerika dan Eropah) di Kementerian Luar.
Beliau dilantik sebagai Duta Besar Indonesia ke Belanda pada 2012.
Retno dilihat sebagai calon tepat bagi menggantikan Marty Natalegawa apabila beliau berjaya memulihkan semula hubungan Indonesia-Belanda, disusuli kunjungan Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte ke Indonesia pada tahun lalu. – UTUSAN
No comments:
Post a Comment