Pintu masuk masjid kelihatan usang namun menyimpan seribu nilai sejarah yang tidak mungkin dilupakan penduduk setempat. |
Masjid ini yang menjadi pusat perkembangan Islam, boleh dijadikan tarikan pelancong kerana nilai sejarah dan kaitannya dengan susur galur umat Islam di Indo-China.
Sinar Harian yang melawat masjid ini mendapati, struktur binaan Masjid Batulrahim di Kampung Ampil, daerah Champa yang dibina pada 1914 itu masih kukuh dan masih diimarahkan penduduk setempat.
Penduduk tempatan yang juga imam di kampung itu Muaz Abu Bakar, 31, berkata, masjid ini pernah dijadikan kandang lembu suatu masa dahulu ketika era rejim Pol Pot.
“Askar cabut atap masjid dan jadikan kandang lembu. Semua penduduk Islam bersembunyi ketika zaman itu. Rejim berusaha melakukan pembersihan etnik dengan membunuh dan memenjarakan penduduk Islam,” katanya.
Pengaruh Perancis dan Buddha
Masjid ini masih mengekalkan unsur artistik pengaruh dari jajahan Perancis dan agama Buddha. Ia dapat dilihat melalui seni di mimbar di mana terdapat seni bunga teratai berwarna merah jambu dan abstrak Perancis.
Tiang masjid pula menggunakan kayu jati manakala siling dan lantainya masih teguh terukir rapi dengan lukisan menakjubkan hasil sentuhan seni penuh kehalusan.
Di bahagian kolah pula, terdapat empat kolam besar dipenuhi air dari sumber perigi. Bahagian mimbarnya masih mengekalkan pembinaan asal dengan kayu usang namun ia masih teguh.
Jemaah menggunakan masjid ini bermula waktu Asar hingga Isyak. Ia masih digunakan untuk tazkirah dan kelas agama serta kuliah subuh.
Muaz berkata, dua pengajian selalu diterap di kalangan penduduk setempat iaitu ilmu masail dan fadhail.
“Ilmu ini penting untuk terus berdakwah dalam usaha memperkukuhkan kefahaman mereka tentang Islam. Usaha mengimarahkan masjid ini sentiasa menjadi amalan penduduk di kampung ini,” katanya.
Difahamkan, masjid ini juga digunakan untuk solat Jumaat dan terbaharu ia dikunjungi rombongan Misi Prihatin Kemboja Korban dan Akikah kali ke-8, kumpulan NGO Al-Itisam Relief Program (ARP), Yayasan Amanah Perdana Malaysia (YAPM) dan sukarelawan UCTC
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ketika Aidiladha baru-baru ini.
Kini, ura-ura masjid Baitulrahim akan diroboh pihak berkuasa bertiup kencang di kalangan penduduk.
Walaupun mereka amat memerlukan masjid baharu tetapi tidak wajar jika masjid yang meninggalkan seribu sejarah itu perlu dirobohkan.
Daripada maklumat sepanduk digantung pada masjid itu, sebuah masjid moden masih dalam pembinaan sudah dibina berhampiran kampung berkenaan bersebelahan Sungai Mekong.
NGO Malaysia mahu pertahan masjid
Oleh kerana, penduduk di Kampung Ampil ini masih kurang mengetahui nilai warisan, beberapa kumpulan badan bukan kerajaan terpanggil untuk mempertahankan masjid ini.
Pengarah Eksekutif ARP, Mohd Shah Sapiel berkata, masjid ini perlu dikekalkan sebagai warisan generasi akan datang.
“Penduduk tidak melihat masjid ini sebagai warisan yang memberi identiti Islam. Mereka mungkin tidak nampak. Tetapi kita sebagai orang luar melihat ianya adalah harta paling bernilai,” katanya.
Menurutnya, masjid ini boleh dijadikan tarikan pelancong untuk berkunjung ke kampung ini sekali gus dapat menjana ekonomi setempat melalui program pelancongan.
“Kami mahu jadikan masjid ini sebagai destinasi wajib lawat bagi pelancong Muslim jika mereka ke Kemboja. Dari situ kita boleh kembangkan aktiviti pelancongan seperti menyusuri Sungai Mekong melawat ke pulau berhampiran yang menyimpan seribu cerita terutama ketika era rejim,” katanya.
Beliau berkata, ARP kini memerlukan dana RM200 ribu untuk proses baik pulih masjid seperti bumbung dan lain-lain.
“Walaupun bumbung masjid bocor dan bangunan ini usang ia masih digunakan penduduk setempat. Ini bermakna masjid ini sentiasa digunakan,” katanya.
Tinjauan Sinar Harian juga mendapati, beberapa struktur masjid itu rosak dan perlu dibaiki.
Ketika kunjungi kami, masjid ini sedang mengadakan tazkirah dengan kehadiran penduduk tempat terdiri daripada graduan ustaz yang mendapat pendidikan dari Malaysia dan Pattani, Thailand
No comments:
Post a Comment