KUALA LUMPUR - Mursyidul Am Pas, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat dilaporkan mendapat rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, awal pagi tadi selepas mengadu tidak sihat usai solat Subuh.
Pengerusi Pertubuhan Muttaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid), Dr Zaharuddin Abdul Rahman memaklumkan perkara tersebut ketika menyampaikan ucapan pada Konvensyen Fiqh Rasulullah SAW di sini, hari ini.

Nik Aziz dijadualkan menjadi tetamu jemputan konvensyen tersebut pada slot khas 'Rasulullah Suri Teladan' pada jam 4 petang.

"Saya ambil masa lebih sedikit kerana Tuan Guru Nik Aziz tidak dapat datang saya baru dapat mesej daripada beliau.

"Pagi tadi difahamkan beliau boleh solat Subuh berjemaah seperti biasa. Selepas Subuh itu beliau mula rasa tak sedap badan dan dihantar ke hospital," katanya kepada kira-kira 1,000 peserta Konvensyen Fiqh anjuran Murshid itu.