TOK PERAK
26 Oktober 2014
*SYABAS kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang tidak habis-habis memburu perasuah. Terkini – Khamis lalu – sepuluh orang ditangkap di Sarawak kerana terlibat dalam kegiatan pembalakan haram.
Turut tersangkut dalam jaring SPRM kali ini ialah seorang pegawai polis yang dikatakan menerima rasuah beribu-ribu RM berhubung kes berkenaan.
Seperti yang dilaporkan media, tahun lalu sahaja Sarawak kerugian lebih RM100 juta gara-gara pembalakan haram. Tauke balak menebang melebihi had kawasan yang diluluskan, seolah-olah semua hutan di negeri itu bapak dia yang punya.
Duit daripada pembalakan haram itu sebahagiannya digunakan untuk merasuah pihak berkuasa. Ada yang dapat duit begitu mudah, tanpa sedikit pun rasa bersalah. Orang seperti ini, tidak kira apa kedudukan, tidak boleh dimaafkan.
*DI Semenanjung pun kes pembalakan haram tidak kurang hebatnya. Seperti yang didedahkan oleh Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), hampir separuh hutan simpanan telah diteroka secara haram oleh syarikat pembalakan.
Menurut Presidennya, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil, pihaknya mendapati sebanyak 20 peratus daripada 50 peratus hutan digazet itu telah ditebang secara terang-terangan.
“Kegiatan ini dikesan berlaku di Pahang dan Kelantan diikuti negeri-negeri lain. Malah, perkara itu dilakukan berterusan dan dipercayai ‘dilindungi’ pihak-pihak tertentu,” katanya.
Sehingga hutan semua sudah ditebang, tanah sudah gondol, masih tidak selesai penyiasatan. Demikianlah lemah, lembap dan hapraknya pihak berkuasa kita dalam hal pembalakan haram.
Harap SPRM pasang perangkap dalam hutan simpanan, mudah-mudahan tertangkap Bapak Harimau dan Tok Gajah Menta yang selalu menceroboh dan memperkosa hutan kita.
*GEJALA rasuah sudah merata-rata di tempat kita. Tidak sahaja tebang hutan, tanah kita pun kena seleweng di depan mata, siang-siang buta. Pantang ada tanah kosong, pendatang haram pacak tiang, buat pondok.
Dari pondok menjadi rumah. Dari sebuah rumah menjadi dua buah, tiga buah, empat buah... akhirnya tanah milik kita menjadi penempatan haram untuk pendatang haram, buat kerja haram.
Penduduk mengadu kepada pihak berkuasa. Penguat kuasa datang, robohkan sebuah dua, tetapi lusa naik lagi rumah. Roboh dua buah, naik empat buah.
Macam-macam pihak berkuasa datang, macam-macam warna uniform. Tetapi penempatan haram pendatang haram itu tetap tidak dimusnahkan. Kalau tanya, mereka kata sedang siasat, sedang siasat.
Banyak sangat siasat tetapi tidak ada tindakan. Maka persepsi rakyat ialah pihak berkuasa makan rasuah. Mungkin hanya persepsi, tetapi boleh jadi realiti.
*SAMA juga halnya dengan pusat hiburan yang menjadi tempat jual dadah, jual GRO, tempat urut, tempat pelacuran. Selalu sangat media, termasuk TV, menyiarkan tangkapan ke atas GRO dan pelacur oleh pihak berkuasa.
Nampak sekumpulan wanita warga asing kulit putih melepak diangkut dalam kenderaan PDRM kerana menyalahgunakan visa pelancong untuk menjual tubuh.
Tidak dapat dipastikan apa selanjutnya terjadi pada GRO putih melepak itu. Apakah dihantar balik ke negara asal, atau ditahan dalam lokap, atau dibuang ke Laut China Selatan, atau ditanam hidup-hidup.
Apa yang pasti esok atau lusa pusat-pusat hiburan berkenaan ceria seperti biasa, dan terus menjual dadah dan seks. GRO dari negara asing terus melayan pelanggan macam tidak ada apa-apa.
Pihak berkuasa kata pusat hiburan tersebut telah dikenakan kompaun, tetapi masih berani meneruskan perniagaan seperti biasa. Ada yang telah diserbu dan dikenakan kompaun berpuluh kali, tetapi tuan punya masih berdegil dan berani melanggar undang-undang.
Kenapa mereka begitu berani? Persepsi umum ialah pihak berkuasa telah dirasuah. Sekali lagi, mungkin hanya persepsi. Tetapi mungkin juga realiti.
*KENYATAAN Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengenai MH370, membuahkan harapan. Menteri Pertahanan itu berkata, beliau 99.9 peratus yakin dengan misi mencari pesawat berkenaan berdasarkan penggunaan peralatan paling canggih.
“Saya optimis 99.9 peratus untuk mengesan pesawat yang hilang,” katanya semasa melancarkan kapal disewa kontrak oleh Malaysia, Go Phoenix, dan kenderaan sonar pengesan dalam air canggih dikenali ProSAS di Pelabuhan Freemantle, Australia, Rabu lalu.
Setelah berbulan berdoa dan menunggu – sejak 8 Mac lalu – keluarga dan sanak-saudara 227 penumpang dan 12 anak kapal yang hilang itu terus berharap suatu keajaiban akan terjadi.
Marilah kita terus berdoa agar segera terjawab misteri pesawat MAS yang hilang dalam perjalanan ke Beijing, China itu.
*AKHIR kalam, genap seminggu telah berlalu, orang kita masih berperang dalam media sosial mengenai acara ‘I Want to Touch a Dog’. Ada yang terlalu ekstrem mengherdik dan menghina peserta yang pada hari itu memeluk dan mencium anjing.
Sesama Islam saling menghentam. Malah dalam kalangan sesama ulama pun saling tuduh-menuduh. Ulama A kata dialah betul, ulama B, C, D... Z kata dialah paling betul.
Maka, Islam sama Islam bergaduh. Ulama sama ulama pun tidak sebulu. Hebat betul penangan anjing. Kerana haiwan tersebut Islam kita nampak tidak sehaluan. Dan seperti biasa, orang bukan Islam menjadikan kita bahan ketawa. Fikir-fikirkanlah!
- TOK PERAK
No comments:
Post a Comment