Keadaan pesawat MH17 yang terhempas selepas ditembak jatuh di Ukraine pada 17 Julai lalu. – AGENSI
KHARKIV, Ukraine 9 Nov – Sembilan daripada 298 penumpang dan anak kapal pesawat Malaysian Airlines, MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine masih belum dijumpai, kata Menteri Luar Belanda, Bert Koender.
Katanya, pasukan penyiasat masih berharap untuk mengesan baki mayat mangsa pesawat itu, namun masih tidak jelas bilakah usaha itu dapat dilakukan berikutan keadaan yang tidak menentu di tempat nahas.
Pasukan penyiasat bertungkus-lumus untuk mendapatkan akses ke lokasi nahas, berikutan pertempuran antara pemberontak pro-Rusia dan tentera Ukraine masih berterusan di kawasan berhampiran lokasi nahas, lapor portal berita,
Beliau berkata demikian selepas satu majlis penghantaran lima keranda mayat nahas pesawat itu ke Belanda di Kharkiv, hari ini.
Koender berkata, beberapa orang pakar dari luar telah dihantar untuk melakukan proses mengenal pasti mayat dan akan melakukan apa sahaja yang mereka mampu untuk mencari saki-baki mayat mangsa.
“Kami tidak boleh memberitahu apa-apa pada waktu ini.... walaupun jika kami dapat mencari sembilan baki mayat mangsa ... tetapi kami akan lakukan apa sahaja yang termampu dengan kerjasama pihak berkuasa di sini bagi memastikan ia boleh dilaksanakan,” katanya yang dipetik AFP.
Siasatan awal di lokasi nahas ditangguhkan pada Ogos lalu berikutan pertempuran sengit di lokasi nahas.
Siasatan itu disambung semula pada September lalu selepas satu perjanjian gencatan senjata ditandatangani antara pemberontak pro-Rusia dan tentera Ukraine dengan pasukan pakar menjalankan siasatan di empat kawasan di lokasi nahas.
Satu laporan yang dikeluarkan pada September lalu oleh para penyiasat dari Belanda mendapati MH17 terkena tembakan beberapa objek kuat.
Laporan itu tidak menuduh sesiapa yang bertanggungjawab, namun dipercayai pesawat itu telah ditembak oleh peluru berpandu darat ke udara dari satu kawasan yang dikuasai pemberontak pro-Rusia.
Namun, pegawai Rusia menafikan tuduhan itu, sebaliknya menuduh jet pejuang Ukraine bertanggungjawab melakukannya.
No comments:
Post a Comment