Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Ismail Ahmad berkata penilaian terperinci sama ada operasi berkenaan diteruskan atau dihentikan akan diputuskan selepas operasi sebulan itu berakhir 30 November ini.
Dalam tempoh seminggu operasi itu, sebanyak 5,515 saman telah dikeluarkan terhadap tiga kesalahan itu, katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, operasi bersepadu itu bukan untuk mencari kesalahan pengguna dan penguatkuasaan semata-mata malah ia lebih kepada mendidik pemandu mematuhi peraturan ketika berada di jalan raya.
Operasi itu turut melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pengangkutan Darat Awam (SPAD).
Ismail berkata, JPJ meneruskan penguatkuasaan dengan cara mendidik merupakan satu inisiatif untuk mengurangkan kadar kemalangan maut.
Beliau berkata, pihaknya menjangka sebanyak 10,716 nyawa akan melayang di atas jalan raya akibat kemalangan menjelang 2020.
“Jadi kita meneruskan penguatkuasaan dengan cara mendidik agar jumlah kematian itu dapat dikurangkan kepada angka 5,358 orang setahun dalam tempoh yang sama,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau menasihatkan pengguna membuat pemeriksaan dan menyemak semula status kenderaan yang ditawarkan pada harga lebih rendah daripada harga pasaran.
“Jika pengguna merasa curiga dengan kenderaan yang dibeli (murah), boleh melakukan semakan kerana kita bimbang mungkin kereta itu dicuri atau kereta klon sehingga menyebabkan kerugian yang besar kepada pembeli,” katanya.
Beliau berkata JPJ telah mengesan sebanyak 20 kenderaan klon dari tahun 2010 hingga 2013.
Beliau juga berkata mangsa bencana banjir atau tanah runtuh yang kehilangan dokumen seperti geran kereta atau lesen memandu boleh mendapatkan kembali dokumen berkenaan secara percuma di pejabat JPJ berdekatan.- BERNAMA