Monday, November 10, 2014

30 Syarikat Di Selangor Rugi Besar Akibat Krisis Air - Mahdzir


Diterbitkan: Isnin, 10 November 2014 12:05 PM
air selangor

KUALA LUMPUR: Sebanyak 30 syarikat di Selangor mengalami kerugian besar akibat krisis bekalan air awal tahun ini, kata Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Menurutnya, maklumat daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) menunjukkan syarikat yang terlibat termasuk Nestle yang mengalami kerugian RM15 juta sehari dan Monin Asia (RM112 juta sebulan) manakala Panasonic terpaksa melepaskan tempahan bernilai RM40 juta.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat pada Isnin ketika menjawab soalan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad (BN-Kuala Kangsar) yang ingin tahu impak krisis air di Selangor terhadap kewangan serta ekonomi negara.

Mahdzir berkata kerugian besar juga dialami beberapa industri seperti industri memproses makanan dan minuman, getah, kimia/oleokimia, elektrik dan elektronik, pelancongan serta industri kecil dan sederhana.

"Ada kilang terpaksa membatalkan tempahan malah ada yang terpaksa mengalih operasi buat sementara waktu ke kawasan lain termasuk di luar negara," katanya.

Mahdzir berkata, krisis bekalan air telah menyebabkan pengagihan air berjadual dilaksanakan selama kira-kira tiga bulan bermula Mac lepas.

Beliau berkata berkata krisis bekalan air di Lembah Klang sejak 2012 juga mengakibatkan kelulusan bagi 855 permohonan kebenaran merancang terpaksa ditangguhkan.

"Banyak projek pembangunan tidak dapat dilaksanakan mengikut rancangan pelabur di Selangor dan Kuala Lumpur," katanya.

Beliau bagaimanapun menjangkakan keadaan akan pulih menjelang 2017 apabila siap projek Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2.

Projek Langat 2 yang tertangguh sejak 2008 diteruskan hujung April lepas selepas Kerajaan Selangor bersetuju mengeluarkan kebenaran selepas perjanjian persefahaman ditandatangani antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan pada 26 Februari lepas.

No comments:

Post a Comment