Sebaliknya, katanya, dia akan memberi perhatian ke atas punca kemalangan pesawat penumpang ke angkasa lepas itu yang mengorbankan seorang juruterbangnya dan seorang lagi mengalami cedera parah.
Jutawan itu memaklumkan bahawa keselamatan merupakan perhatian utamanya dalam misi tersebut.
“Selepas kami menemui punca dan langkah untuk mengatasi kemalangan pesawat, kami akan menjadikan impian ini satu kenyataan.
“Kami memahami risiko misi ini, dan kami tidak akan meneruskan projek secara membabi-buta kerana ini akan menyakiti hati individu yang terlibat dalam tragedi itu,” katanya.
Sekumpulan penyiasat kebangsaan memulakan penyiasatan tentang punca nahas pesawat SpaceShipTwo milik Virgin Galactic kelmarin ketika pesawat berkenaan sedang mengadakan ujian penerbangan pada ketinggian 13,700 meter.
Pemangku Pengerusi Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB), Christopher Hard melaporkan, pasukan penyisasat diharap mampu menemui punca kemalangan berdasarkan data daripada Virgin Galactic.
“Ini merupakan kali pertama kami menyiasat tentang pelancaran pesawat angkasa lepas yang membabitkan beberapa individu dalam pesawat,” katanya.
Akhbar, The Los Angeles Times melaporkan, juruterbang yang maut dalam nahas itu dikenal pasti sebagai Michael Alsbury, 39 tahun.
Kemalangan itu merupakan nahas kedua yang menggegarkan industri angkasa lepas, tidak lama selepas roket Antares yang membawa bekalan ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa meletup di Virginia, AS pada Selasa lalu.
Virgin Galactic berharap untuk memulakan penerbangan ke angkasa lepas pada 2015 dengan bayaran tiket sebanyak AS$250,000 (RM822,312) untuk seorang penumpang, dan menurut laporan, aktor Hollywood, Leonardo DiCaprio merupakan antara individu yang telah menempah tiket penerbangan tersebut. – AFP