Demikian pertanyaan bagi jawab lisan daripada Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula jam 10.00 pagi ini.
Soalan daripada ahli-ahli parlimen PAS yang disenaraikan pada hari ini seperti di bawah.
Mohamed Hanipa Maidin [Sepang] minta MENTERI KERJA RAYA menyatakan:-
(a) apakah langkah-langkah yang telah dan akan diambil oleh Kementerian untuk menyelesaikan masalah kesesakan yang teruk di simpang empat Dengkil di Lebuh Raya Dengkil-Bangi; dan
(b) adakah Kementerian menimbangkan pembinaan 'flyover' di persimpangan tersebut dan akan membina hentian R&R di lebuh raya tersebut bagi kemudahan pengguna lebuh raya tersebut.
Datuk Dr. Nik Mazian Nik Mohamad [Pasir Puteh] minta Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani menyatakan tentang pengeluaran buah-buahan tempatan yang berlebihan pada tahun ini sehingga petani menghadapi masalah tidak dapat memasarkannya. Apakah tindakan Kerajaan untuk mengatasi lambakan buah-buahan ini yang berlaku pada setiap tahun dan adakah tindakan yang diambil dapat menyelesaikan masalah ini.
Khalid Abdul Samad [Shah Alam] minta Perdana Menteri menyatakan adakah benar Akta Hasutan akan dimansuhkan dan sekiranya benar, bila.
Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa [Parit Buntar] minta Menteri Pelancongan Dan Kebudayaan menyatakan adakah Kementerian menyediakan penerangan atau syarat-syarat tertentu kepada pelancong asing agar mereka mesti menjaga ketenteraman dan kesopanan di dalam negara.
Datuk Takiyuddin Hassan [Kota Bharu] minta Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar menyatakan apakah langkah Kerajaan untuk mengawal kualiti udara di negara ini yang sering kali mengalami bacaan Indeks Pencemaran Udara yang kurang sihat. -HARAKAHDAILY 3/11/2014
No comments:
Post a Comment