Friday, December 26, 2014

Bantuan sudah disalur ke kawasan terputus hubungan di Kuala Krai

KUALA KRAI: Bekalan makanan, barangan keperluan dan ubatan telah dapat disalurkan kepada mangsa banjir di 28 lokasi yang terputus hubungan di Kuala Krai, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau berkata bekalan dihantar menggunakan helikopter Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berikutan keadaan cuaca baik.
"Alhamdulillah buat pertama kali hari ini cuaca baik membolehkan bantuan dihantar melalui helikopter," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Banggol Ghucil yang menempatkan lebih 2,000 mangsa banjir, di sini semalam.
BEKALAN makanan diturunkan oleh anggota tentera sambil dibantu sukarelawan ketika tinjauan fotoERNAMA di Sekolah Kebangsaan Banggol Guchil pada kejadian banjir di sekitar Kelantan. - Foto BERNAMA
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kelantan itu berkata dua keutamaan yang diberi perhatian oleh pihak berkuasa iaitu operasi menyelamatkan mangsa banjir dan memastikan bekalan makanan dan barangan keperluan disalurkan kepada mangsa.
Dalam pada itu, Mustapa berkata banyak perkara baharu yang dipelajari dan boleh diperbaiki dari segi pengurusan penghantaran bekalan makanan dan keperluan kepada mangsa banjir.
SUASANA di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Banggol Guchil. - Foto BERNAMA

Katanya, hari ini Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijadual meninjau keadaan banjir dan mangsa banjir di negeri ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment