Mail Online melaporkan, gambar yang dipercayai dirakamkan di kem pemandulan di Kampung Banarpal, daerah Angul itu menunjukkan doktor-doktor terbabit menggunakan pam basikal untuk mengembungkan abdomen pesakit bagi memudahkan pembedahan dijalankan.
Difahamkan 56 orang pesakit sudah menjalani pembedahan sedemkian di kem berkenaan.
Imej yang tidak dinyatakan sumbernya itu didedahkan dua minggu selepas 13 orang wanita dilaporkan meninggal dunia selepas menjalani pembedahan pemandulan di negeri Chhattisgarh.
Akhbar Hindustan Times memetik laporan seorang pegawai daerah Angul sebagai berkata, pihaknya mengakui teknik yang ‘keras’ telah diguna pakai ke atas 56 pesakit yang menjalani pembedahan pemandulan pada hari tersebut.
Doktor yang menjalankan pembedahan berkenaan, Dr. Mahesh Prasad Rout berkata, penggunaan pam basikal bagi mengembungkan abdomen merupakan perkara biasa di beberapa buah kawasan terpencil di negara ini.
Sementara itu, pegawai perubatan tempatan berkata, siasatan sudah dijalankan berhubung pendedahan berkenaan dan laporan lengkap mengenainya akan dikeluarkan pada minggu ini.