Isu perkauman kembali memuncakSEJAK  terhapusnya dasar Apartheid di Afrika Selatan, tidak ada lagi dasar perkauman yang menjadi perhatian dunia. Begitu juga halnya dengan situasi di Amerika Syarikat (AS). Isu perkauman kulit putih dan kulit hitam semakin jarang diperkatakan.

Bagaimanapun, isu perkauman di AS kembali memuncak sejak Ogos lalu, apabila seorang anggota polis kulit putih menembak mati seorang remaja kulit hitam yang tidak bersenjata di Ferguson, Missouri.

Kematian Micheal Brown, 18, mencetuskan rasa tidak puas hati masyarakat kulit hitam apabila juri memutuskan anggota polis yang bertanggungjawab dalam insiden tersebut sebagai tidak bersalah.

Selain kematian Brown, kemarahan masyarakat kulit hitam ditambah dengan kematian Eric Garner di pulau Staten.

Anggota polis yang terlibat mencekik mangsa sehingga mati didapati tidak bersalah oleh barisan juri.

Ia diburukkan lagi dengan kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun yang ditembak mati oleh polis di Ohio ketika dia sedang bermain dengan pistol mainan.

Susulan keputusan itu, protes terus merebak ke Los Angeles dan New York menuntut keadilan ke atas mangsa.

Akibatnya, berbelasbelas bangunan dibakar, berpuluh-puluh kenderaan hangus dan berpuluh aktivis ditangkap.