Tuesday, December 23, 2014

Melayu khianati Melayu


MAHFUZ OMAR | .
1. Merujuk kepada kenyataan Mantan Perdana Menteri, Tun Doktor Mahathir pada Sabtu lepas di Program Kepimpinan Belia bahawa bangsa Melayu kini terpaksa mengemis kuasa daripada bangsa lain kerana perpecahan yang berlaku dalam kalangan orang Melayu. PAS berpandangan bahawa kenyataan Tun Mahathir ini telah mengesahkan hakikatnya bahawa Umno lah sebagai punca kepada berlakunya masalah ini. Hal ini kerana semenjak Malaysia merdeka pada tahun 1957 dahulu sehinggalah kini, Kerajaan Persekutuan dikuasai oleh parti Umno sebagai tonggak utama di dalam Perikatan dan Barisan Nasional

2. Bagaimana perkara sebegini boleh berlaku sedangkan antara struktur penting institusi negara ini ialah sistem raja berpelembagaan, Sultan dan Raja-Raja Melayu, jawatan Eksekutif seperti Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kabinet majoritinya berbangsa Melayu, jawatan kanan dalam sektor perkhidmatan awam ialah berbangsa Melayu, pegawai tinggi tentera dan polis yang bertanggungjawab terhadap keselamatan dan pertahanan negara juga adalah majoritinya orang-orang Melayu, majoriti dalam kalangan 1.42 juta orang penjawat awam ialah berbangsa Melayu sehinggalah ketua di peringkat JKKK di ceruk desa dan kampung ialah berbangsa Melayu. Dalam keadaan sedemikian rupa, bangsa Melayu masih dikatakan sebagai ‘pengemis kuasa’, maka adalah tidak salah untuk kita mengatakan atas sebab kegagalan Umno lah sebagai punca berlakunya masalah yang didakwa ini.

3. “Bagai menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri”, itulah peribahasa yang terbaik untuk dikaitkan dengan apa yang didakwa oleh Tun Mahathir. Yang beliau ceritakan itu tidak lebih kepada membuka aib dan kelemahan Umno yang memerintah selama ini. Bangsa Melayu yang dikatakan kian terpinggir ini dek angkara pengkhianatan, kebodohan dan penyelewengan amanah yang diberikan oleh rakyat kepada Umno selama 57 tahun!

4. Contoh yang paling mudah, lihatlah apa yang telah berlaku pada nasib Rizab Tanah Melayu.? Hanya tinggal 3.6 juta hektar atau 20 peratus daripada 12.8 juta hektar keseluruhan Tanah Rizab Melayu di Semenanjung dimiliki penuh oleh orang Melayu. Lihatlah juga diskriminasi dan kegagalan semangat federalisme oleh kerajaan Pusat pimpinan Umno terhadap orang Melayu di Kelantan yang disekat pelbagai bantuan dan kemudahan asas seperti lebuh raya kerana mereka memilih PAS sebagai kerajaan negeri pada tahun 1990. PAS juga tidak pernah lupa bagaimana bayaran royalti ditarik balik ketika PAS menang sebagai kerajaan negeri Terengganu.

5. Begitu juga ketika persempadanan semula kawasan pilihan raya pada tahun 2003, negeri yang ramai orang Melayu seperti Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak pula diberikan penambahan kerusi parlimen. Kegagalan Umno ini bukan sahaja melibatkan PAS sebagai musuh tradisi politik mereka menjadi mangsa yang teraniaya bahkan turut melibatkan sekalian rakyat jelata. Pelbagai rekod pengkhianatan, rasuah, seleweng, dan salahguna kuasa yang dilakukan oleh pemimpin Umno itulah sebagai punca utama bangsa Melayu mengalami nasib sedemikian rupa.

6. Bersempena dengan labuhnya tirai tahun 2014 adalah amat wajar untuk seluruh rakyat bermuhasabah khususnya orang Melayu atas apa yang telah berlaku selama ini. Sudah tiba masanya rakyat meninggalkan budaya politik rimba yang menggunakan kuasa sebagai ancaman untuk menakutkan orang ramai yang berani menyatakan pandangan dan teguran yang benar. Pada era globalisasi kini, taktik politik sedemikian sudah lapuk ditelan zaman dan orang sudah beralih kepada politik baru yang berasaskan nilai dan hujjah yang benar.

7. Bersempena dengan kedatangan tahun baru 2015, PAS ingin menyeru seluruh rakyat-jelata agar berani membuat anjakan perubahan kepada satu lembaran baru politik Malaysia tanpa parti politik kuno Umno BN, lalu digantikan dengan Pakatan Rakyat yang menawarkan politik baru yang lebih inklusif dan merentasi sempadan etnik.

Selamat menyambut tahun baru 2015. – HARAKAHDAILY 23/12/2014

No comments:

Post a Comment