Thursday, December 18, 2014

Perkahwinan Pada Usia Remaja Berisiko Tinggi


Diterbitkan: Khamis, 18 Disember 2014 12:20 PM

PETALING JAYA: Pertubuhan Pertolongan Wanita  (WAO) sangat bimbang dengan laporan yang menunjukkan kira-kira 80, 000 wanita di negara ini berkahwin pada usia remaja, hal ini kerana ia didakwa boleh memudaratkan kesihatan fizikal dan mental anak muda.

Pengarah Eksekutifnya, Ivy Josiah berkata mereka yang berusia di bawah 18 tahun masih belum bersedia secara fizikal dan mental untuk memberikan komitmen kepada alam perkahwinan.

"Terutamanya kepada wanita, tubuh mereka yang masih muda belum bersedia untuk mengandung serta melahirkan anak. Ini akan hanya meningkatkan faktor kadar kematian ibu ketika melahirkan anak," katanya ketika dihubungi.
Pada Selasa, Dana Populasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNFPA) mengenai laporan 'Populasi Dunia 2014' menunjukkan dalam bancian yang dijalankan pada 2010 memaparkan kira-kira 80,000 wanita di Malaysia berkahwin pada usia 15 hingga 19 tahun.
Sementara golongan remaja lelaki yang berkahwin pada usia remaja pula mencatatkan jumlah sehingga 70,000 orang. 
Pengurus Program Sister In Islam, Suri Kempe berkata pasangan muda mempunyai pengalaman yang cetek mengenai kaedah pencegahan kehamilan dan informasi mengenai kesihatan reproduktif. 

"Mereka mungkin kerap melakukan hubungan seks, dengan mengandung beberapa kali dan melahirkan anak sebelum fizikal matang dan mereka bersedia secara psikologi.

"Kadar kematian ketika mengandung lebih tinggi dikalangan remaja wanita yang berusia antara 15 hingga 19 tahun. Remaja wanita berusia bawah 15 tahun mempunyai risiko kematian ketika bersalin lima kali ganda berbanding mereka yang berusia lebih daripada 20 tahun," katanya.

 Josiah dan Kempe turut melahirkan kebimbangan terhadap masa depan, pasangan muda yang tidak menyambung pengajian mereka ke peringkat yang lebih tinggi.

Mengambil contoh kes perkahwinan, Mohd Muaz Mislan, 15 yang mendirikan rumah tangga dengan seroang remaja wanita berusia  17 tahun di Johor pada 30 November lalu, Kempe berkata: "Remaja lelaki berkenaan mungkin terpaksa berhenti belajar untuk bekerja bagi menampung kehidupan isterinya. Namun apakah jenis pekerjaan yang sesuai untuknya?

"Dia bukan sahaja terlalu muda malah masih belum boleh memiliki lesen memandu, mungkin juga sukar memperoleh pekerjaan bagi menampung kehidupan dia dan isterinya, malah anak jika mereka memilikinya satu hari nanti."

Kempe berkata tindakan membenarkan pasangan remaja berkahwin akan mewujudkan sikap kebergantungan terhadap negara, kerana mereka terpaksa bergantung kepada keluarga, malah sistem kebajikan sosial negara.

"Kebanyakan mereka yang berkahwin pada usia remaja datang daripada keluarga berpendapatan rendah. Apa yang mereka lakukan hanya mengekalkan kehidupan dalam kemiskinan," katanya. 
Josiah turut memberi amaran bahawa pasangan ini mungkin berhadapan dengan kemeseletan dalam hidup kerana mereka baharu sahaja ingin menyesuaikan diri terhadap kehidupan selepas berkahwin.

"Selepas berkahwin, mereka perlu memikul peranan dan tanggungjawab baharu, bukan itu sahaja mereka juga perlu berhadapan dengan perubahan seperti mengenali saudara mara baharu.

"Mereka masih lagi bersikap keanak-anakan namun terpaksa bersikap seperti orang dewasa dan matang daripada usia sebenar," kata Josiah sambil menambah ramai yang tidak menyambung pengajian sekaligus menyekat peluang masa depan mereka.

No comments:

Post a Comment