PUTRAJAYA: Kegagalan Koperal Sirul Azhar Umar menghadiri mahkamah untuk menerima penghakiman keputusan rayuan membawa padah apabila waran tangkap dikeluarkan terhadap anggota Unit Tindakan Khas (UTK) itu.
Sirul Azhar, 42 dan Cif Inspektor Azilah Hadri dikenakan hukuman mati kerana membunuh Altantuya Shaariibuu oleh Mahkamah Persekutuan selepas lima panel hakim memutuskan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan.
Peguam Sirul, Kamarul Hisham Kamaruddin berkata, kali terakhir dia berhubung dengan anak guamnya itu kira-kira seminggu selepas selesai pendengaran kes pada Jun lalu.
"Saya tidak dapat membuat sebarang andaian dimana dia berada kerana tidak berhubung dengannya," katanya kepada pemberita selepas keputusan rayuan dibacakan pada Selasa.
Bagaimanapun, prosiding kali ini bukan yang terakhir sepanjang sembilan tahun kes berkenaan dimana kata Kamarul pihaknya akan mengemukakan permohonan supaya Mahkamah Persekutuan mengkaji semula keputusan itu atas arahan anak guamnya.
Pihak pembelaan masih mahu mempertahankan keputusan Mahkamah Rayuan yang menetapkan anak guamnya tidak bersalah.
Beliau bagaimanapun menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dan pasti penghakiman itu dibuat bukan kerana tekanan umum.
"Ia sesuatu yang berbahaya jika mahkamah tidak bebas. Keputusan mereka perlu dibuat berdasarkan undang-undang dan fakta," katanya.
No comments:
Post a Comment