Satu laporan dikeluarkan oleh kumpulan penyiasat Jerman, menyatakan pesawat MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu BUK milik Rusia. – Agensi
BERLIN 12 Jan. – Tidak sampai 24 jam selepas Rusia mendedahkan identiti seorang kapten Ukraine dipercayai menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 pada Julai tahun lalu, penyiasat Jerman hari ini mendedahkan laporan menyatakan Rusia pula bertanggungjawab terhadap tragedi tersebut.
Menurut kumpulan itu menerusi satu laporan siasatan, pesawat MH17 ditembak jatuh oleh sebutir peluru berpandu permukaan ke udara BUK milik Rusia, mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal pesawat berkenaan.
Akhbar Daily Mail melaporkan, siasatan itu dijalankan oleh sebuah badan berita bebas Jerman, CORRECT!V yang menghasilkan satu dokumentari memaparkan keterangan pakar-pakar pasukan tentera, anggota pemberontak pro-Rusia, dan penduduk di timur Ukraine.
Agensi tersebut turut mengumpul gambar, rakaman video, dan data satelit bagi mendapatkan bukti yang sahih tentang kejadian yang berlaku pada 17 Julai lalu itu.
CORRECT!V mendakwa, pesawat MH17, ditembak jatuh oleh Briged Pertahanan Udara Ke-53 Rusia menggunakan peluru berpandu BUK yang dilancarkan dari darat, lapor Kyiv Post.
Jelas agensi itu, kenderaan perisai tersebut memasuki Ukraine untuk melindungi kereta kebal Rusia yang terdedah kepada serangan udara Kiev ketika permulaan konflik di wilayah timur Ukraine.
Dalam dokumentari itu, pakar tentera mendakwa, hanya anggota tentera yang dilatih khas dalam satu unit mampu mengendalikan sistem BUK.
Pendedahan oleh Jerman itu dibuat sehari selepas Rusia membongkar identiti kapten Ukraine, Vladislav Voloshin yang didakwa menembak jatuh MH17.
Moscow turut menggesa pihak berkuasa Belanda menyiasat Voloshin berhubung dakwaan tersebut.
No comments:
Post a Comment