PETALING JAYA: Keadaan kesihatan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat semakin baik ketika ini, namun beliau masih memerlukan rehat secukupnya.
Dikatakan berada dalam situasi 'uzur biasa', bekas Menteri Besar Kelantan itu juga boleh menjalani aktiviti hariannya seperti berjalan dan membaca.
Mengesahkan mengenai keadaan kesihatan veteran PAS itu, anaknya Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, kesihatan ayahnya sedikit merosot selepas bencana banjir yang melanda Kelantan baru-baru ini.
"Ayahanda dalam keadaan uzur biasa. Dalam sebulan akhir ini, ayahanda tidak solat di masjid kerana keletihan dan hanya berada di rumah dan melakukan aktiviti biasa seperti berjalan, membaca dan rehat," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Penjelasan itu sekaligus menafikan dakwaan tidak bertanggungjawab di media sosial sejak awal pagi Isnin bahawa Nik Abdul Aziz yang baharu menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-84 pada 10 Januari lalu berada dalam keadaan nazak.
Turut tersebar sekeping gambar yang memaparkan Nik Abdul Aziz sedang terlantar di katil dan dikerumuni anggota keluarganya.
Mengulas lanjut, Nik Mohamad Abduh berkata, pada masa ini ayahnya tidak mahu diziarahi kerana ingin berehat.
"Pihak keluarga memohon maaf kerana atas kehendak ayahanda, beliau memilih tidak diziarahi untuk tempoh ini. Mahu rehat secukupnya.
"Mari bersama memohon doa semoga Allah mengurniakan kesihatan yang baik buat ayahanda dan seluruh umat Islam yang dalam keuzuran kesihatan mereka dan semoga kita semua beroleh hidayat dan istiqamah dalam perjuangan menegakkan Islam," katanya.
No comments:
Post a Comment