Sunday, January 18, 2015

Warga Kalimantan takut makan ikan


AGENSI - UJANG menunjukkan tanda bagus kepada orang ramai sebelum mengetuai kempen makan ikan di Pangkalan Pendaratan Ikan, Pelabuhan Kumai, Pangkalan Bun, Kalimantan semalam.


PANGKALAN BUN, Kalimantan – Pihak berkuasa Kotawa­ringan Barat di sini terpaksa me­nganjurkan kempen makan ikan bagi menghilangkan perasaan takut masyarakat di daerah itu ekoran tragedi pesawat QZ8510 yang terhempas di Laut Jawa.
Detik.com melaporkan bahawa penjualan ikan di Pangkalan Bun dan kawasan sekitar terjejas teruk apabila tersebar khabar angin bahawa ikan yang ditangkap oleh nelayan di situ berkemungkinan telah memakan mayat mangsa pesawat AirAsia Indonesia itu.
Semalam, Ketua Daerah Kotawaringin Barat, Ujang Iskandar mengetuai kempen tersebut yang turut dihadiri oleh 1,250 penduduk setempat.
Beberapa jenis ikan termasuk bawal, siakap dan kerapu yang dimasak dengan pelbagai jenis masakan disajikan pada majlis itu, malah pelbagai menu berasaskan ikan turut dihidangkan seperti bakso, laksa, nuget dan keropok ikan.
“Tujuan acara ini adalah bagi meyakinkan penduduk bahawa ikan-ikan yang ditangkap nelayan kita tidak ada apa yang perlu dibimbangkan,” katanya pada majlis berkenaan yang diadakan di Pangkalan Pendaratan Ikan, Pelabuhan Kumai di sini semalam.
Pada majlis itu, Ujang mendahului penduduk dengan memakan ikan yang dihidangkan.
“Saya beri jaminan bahawa tangkapan nelayan tidak ada apa-apa masalah, kalau lapar makan saja ikan itu.
“Saya berharap dengan acara ini dapat menghilangkan stigma kita, malah tragedi yang menimpa AirAsia tidak memberi kesan kepada ikan di laut,” tambah beliau.
Sejurus ketua daerah itu memakan ikan yang dihidangkan kepadanya, para hadirin kelihatan berebut menikmati hidangan ikan yang berjumlah kira-kira 500 kilogram itu.
“Ikannya sedap, kelmarin kami tidak mahu makan ikan, sekarang boleh saja,” kata seorang pengunjung, Sina, 33.
Pesawat QZ8501 yang membawa 162 penumpang dan kru terhempas ketika dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura pada 28 Disember lalu dan sehingga kini operasi mencari hanya menemui 51 orang mangsa. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0118&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3P7VStfoy 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment