Tuesday, February 17, 2015

Belum Bincang Tentang Ketua Pembangkang Baharu - Pemimpin PAS


Diterbitkan: Selasa, 17 Februari 2015 7:27 PM
Abdul Hadi Awang.
Datuk Seri Abdul Hadi Awang

PETALING JAYA: Pemimpin PAS sedang menahan diri daripada terjebak dalam spekulasi yang menyatakan bahawa presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang sedang dipertimbangkan untuk diangkat sebagai Ketua Pembangkang.

Berikutan cadangan sesetengah pihak supaya Hadi menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini sedang menjalani hukuman penjara, pimpinan parti berkata perkara itu hanya akan dibincangkan selepas Anwar secara rasminya hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar enggan mengulas lanjut berhubung perkara ini sambil menyatakan bahawa isu itu akan dibangkitkan apabila tiba masanya.

"Kami akan berbincang di peringkat parti dan kemudian akan membawanya ke pimpinan Pakatan Rakyat," katanya kepada The Star Online sebelum memutuskan perbualan.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Idris Ahmad berkata beliau tidak mengetahui sebarang keputusan mengenai pengganti Anwar, sambil menambah parti juga masih belum membincangkan perkara itu.

"Saya tidak mempunyai maklumat mengenai perkara ini buat masa ini dan tidak pernah mengetahui sebarang cadangan (untuk menggantikan Anwar dengan Hadi)," katanya ketika dihubungi.

Pada Selasa, pemimpin Dewan Ulama PAS mencadangkan bahawa Hadi adalah orang yang paling sesuai untuk mengambil alih tempat Ketua Pembangkang kerana beliau adalah seorang ulama Islam yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Dr Abu Bakar Abdullah, yang juga timbalan ketua Dewan Ulama Terengganu memberitahu sebuah akhbar berbahasa Melayu bahawa Presiden PAS mempunyai kelayakan untuk menyelesaikan masalah Pakatan dan berkata beliau yakin ulama itu dapat mencari penyelesaian dengan pendekatan berasaskan agama.

No comments:

Post a Comment