Tuesday, February 17, 2015

OIC Umum Langkah Segera Perangi Keganasan, Pertahan Dunia Islam


Diterbitkan: Selasa, 17 Februari 2015 8:39 PM

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) memperkenalkan langkah segera bagi memerangi penularan keganasan yang memberi kesan kepada negara anggota OIC, dan mempertahankan dunia Islam daripada bahaya keganasan ekstremisme, susulan mesyuarat peringkat menteri Jawatankuasa Eksekutif OIC pada Ahad.
Dalam kenyataan kepada Bernama, pertubuhan itu menggesa diadakan mesyuarat pakar undang-undang dan keganasan bagi menilai semula Konvensyen OIC 1999 bagi mewujudkan mekanisme yang sesuai untuk menentang trend baharu keganasan di kalangan negara anggota OIC.
Mesyuarat berkenaan juga meminta diadakan perbincangan menyeluruh tentang keganasan antarabangsa, jenayah rentas sempadan dan perkembangan keselamatan melalui persidangan, simposium dan bengkel membabitkan ahli akademik; ahli politik, agamawan serta para pemimpin tradisional selain mencari jalan mendepani keselamatan siber dan memperjelas paradigma untuk berdepan dengan punca keganasan fahaman.
Ia juga meminta OIC membina kerjasama dengan pertubuhan serantau dan antarabangsa menentang keganasan, dan pengaktifan 'Pusat Keganasan Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu' bagi menyelaras usaha menentang keganasan.
Mesyuarat tersebut juga meminta OIC menjalin kerjasama dengan negara anggota bagi mengukuhkan kalangan belia dan komuniti lain yang berisiko dieksploitasi kumpulan pengganas, bagi memastikan mereka tidak mudah terpengaruh dengan perekrutan dan fahaman radikalisme.
Sementara itu, Setiausaha Agung OIC Iyad Ameen Madani menegaskan bahawa keganasan tidak boleh diatasi dengan berkesan melalui kaedah ketenteraan dan keselamatan sahaja, dan pelan konkrit perlu diwujudkan untuk menangani aspek, dimensi dan konteks keganasan.

No comments:

Post a Comment