Thursday, March 19, 2015

Banyak Pilihan Bagaimana Mahu Buat Pembayaran Cukai - LHDN


Diterbitkan: Khamis, 19 Mac 2015 10:19 AM

MELAKA: Pengenalan sistem bayaran menggunakan kad kredit untuk membayar cukai pendapatan tidak bermaksud membebankan pembayar cukai dengan lebih banyak hutang.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Tan Sri Dr Mohd Shukor Mahfar berkata sistem pembayaran yang baharu itu diperkenalkan untuk kemudahan pembayaran cukai.

"Kad kredit diterima adalah untuk memastikan pembayaran cukai lebih mudah dan cepat, terutama kepada mereka yang dihalang daripada meninggalkan negara kerana tidak membayar cukai.

"Dakwaan oleh pihak-pihak tertentu bahawa LHDN menggalakkan pembayar cukai menanggung lebih banyak hutang dengan menggunakan kad kredit adalah tidak benar sama sekali," katanya selepas menyampaikan ucaptama pada seminar kepimpinan Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Melaka, Rabu.

Beliau berkata, terpulang kepada pembayar cukai untuk memilih sistem pembayaran yang mudah sama ada melalui tunai, cek di kaunter, mesin deposit tunai atau melalui perbankan internet.

Dr Mohd Shukor berkata, masih terlalu awal untuk menyatakan jika kaedah pembayaran yang baharu ini mendapat sambutan yang baik.

"Setakat ini, kita mempunyai sistem pembayaran yang dibuat melalui kad kredit. Kita akan melihat kembali jika ia menjadi satu kaedah pembayaran pilihan," katanya sambil menerangkan bahawa sistem "e-filing" akan mengambil masa selama lima tahun untuk pembayar cukai membiasakan diri.

Beliau berkata sistem "e-filing online" mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan muda dan celik IT dengan 3.8 juta pengguna pada tahun lepas.

"Saya berharap lebih ramai pembayar cukai akan menerima dan menggunakan sistem "e-filing" kerana ia adalah lebih mudah,cepat dan tepat."

Dr Mohd Shukor berkata tempoh pembayar cukai melalui sistem "e-filing" akan dilanjutkan sehingga 15 Mei ini dan bukannya pada 30 April tahun ini. 

No comments:

Post a Comment