Oleh Muhammad Saufi Hassan
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/38403#sthash.4DkH22uK.dpuf
Kuala Lumpur: Selepas mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat umum berhubung video bertajuk ‘Hudud Isi Periuk Nasi?’ yang dimuat naik di laman YouTube kelmarin, BFM Media dan Projek Dialog memohon maaf secara terbuka menerusi satu kenyataan media, semalam.
Berdasarkan kenyataan itu, BFM Media mengakui menerima reaksi daripada pelbagai pihak dan sebahagian daripada penonton video itu beranggapan bahawa radio berkenaan sengaja mempersoalkan kesahihan hukum hudud itu sendiri.
“Ini bukanlah niat sebenar di sebalik video itu, kami hanya mengajak penonton supaya mempertimbangkan beberapa persoalan mengenai pelaksanaannya.
“Justeru, kami ingin meminta maaf jika ada pihak yang tersinggung berikutan video berkenaan. Video itu bermatlamat sebagai komentar satira yang menyentuh persoalan sama ada pelaksanaan hudud seharusnya menjadi keutamaan oleh pihak kerajaan dan perundangan di Kelantan,” katanya dalam kenyataan itu.
Video yang dimuat naik kelmarin di laman YouTube mencetuskan rasa kurang senang sebahagian besar masyarakat Islam kerana dilihat seolah-olah mempertikaikan isu hukum hudud.
BFM Media dalam kenyataan itu menjelaskan bahawa pihaknya mengambil keputusan untuk menarik balik video berkenaan memandangkan reaksi yang tercetus hasil daripada isu itu.
Bagaimanapun, menurutnya, pihaknya ingin menyatakan rasa kesal terhadap serangan peribadi yang ditujukan kepada pengacara video berkenaan iaitu Aisyah termasuk ugutan bunuh serta rogol yang diterimanya.
“Kami ingin menegaskan bahawa Aisyah (Tajuddin) hanyalah pengacara pengganti BFM Kupas dan bukan pengacara tetap rancangan itu. Beliau (Aisyah) juga bukan pengarang skrip terbabit.
“Oleh itu, pandangan yang diajukan di dalam video berkenaan bukanlah pendirian peribadinya dalam hal ini dan kami membantah sekeras-kerasnya segala serangan serta ugutan yang dibuat terhadap Aisyah,” katanya.
BFM Media turut membantah serangan serta ugutan yang dibuat terhadap wanita itu berikutan ancaman berkenaan bukan saja menyalahi perundangan, malah tidak bertepatan dengan nilai masyarakat negara ini yang mendokong prinsip keamanan.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2015 @ 10:04 AM
No comments:
Post a Comment