Sunday, March 22, 2015

India khas 33 peratus wanita dalam polis


21 Mac 2015


NEW DELHI - INDIA. Dalam usaha meningkatkan perlindungan untuk wanita, Kerajaan India mengumumkan 33 peratus jawatan dalam pasukan polis negara ini dikhaskan untuk mereka.
 
Keputusan itu, yang diambil pada mesyuarat Kabinet semalam dengan dipengerusikan Perdana Menteri Narendra Modi, dipercayai akan mendorong lebih banyak wanita menyertai pasukan polis, terutama di ibu negara India ini, yang kini hanya mempunyai 6,300 anggota polis wanita daripada keseluruhan 80,000 anggotanya.
 
The Times of India memetik pengumuman Kerajaan Persekutuan bahawa pasukan itu sepatutnya mempunyai antara 25,000 dan 27,000 anggota polis wanita dan pada waktu yang sama, menggesa semua kerajaan negeri mengadakan peruntukan serupa.
 
Menurut Perlembagaan India, undang-undang dan ketenteraman terletak di bawah bidang kuasa negeri dan oleh itu, keputusan mengenainya perlulah dibuat kerajaan negeri.
 
Akhbar harian itu berkata di samping untuk menjadikan pasukan polis lebih peka kepada gender, kerajaan juga berharap langkah tersebut akan dapat menyemai keyakinan dalam diri wanita untuk tidak teragak-agak berjumpa dengan polis bagi mendapatkan perlindungan atau bantuan.
 
Berikutan kes rogol berkumpulan pada Disember 2002 yang menggegarkan negara ini, Kerajaan India membuat beberapa pindaan terhadap Kanun Jenayah, Kanun Tatacara Jenayah dan Akta berkaitan lain untuk melancarkan penyiasatan dan perbicaraan bagi kes melibatkan jenayah terhadap wanita. - Bernama

No comments:

Post a Comment