RABU, 4 MAC 2015 @ 9:06 AM
DUBLIN: Satu penerbangan dilencongkan manakala satu lagi ditangguhkan bagi mengelak dua pesawat pengebom Russia yang terbang melalui ruang udara yang dikawal Ireland tanpa amaran bulan lalu, menurut Pihak Berkuasa Udara Ireland (IAA).
Gangguan itu dipercayai berlaku semasa insiden sama pada 18 Februari yang mana pesawat pejuang Tentera Udara Diraja British dikerah mengiring dua pesawat pengebom 'Bear' Russia yang terbang berhampiran ruang udara Britain.
Penerbangan itu dilihat sebagai tindakan Russia menunjukkan kekuatan berikutan ketegangan konflik di Ukraine yang mana Perdana Menteri, David Cameron, menuduh Presiden Russia, Vladimir Putin, mencabar kedaulatan wilayah Kiev.
Pihak berkuasa Ireland menyatakan dua pesawat Russia itu terbang dengan transponder dimatikan - peranti yang membantu pesawat dikenal pasti oleh radar pengawal trafik udara.
"Pelepasan sebuah pesawat dari Dublin ditangguhkan berikutan aktiviti pesawat Russia itu di ruang udara yang dikuasai UK," menurut kenyataan IAA.
"Laluan sebuah lagi pesawat diubah bagi memastikan haluannya dijarakkan dengan dua pesawat tentera Russia itu," menurut kenyataan itu.
Menurut akhbar The irish Examiner, penerbangan yang dilencongkan dan ditangguhkan itu adalah pesawat komersial "yang membawa ratusan orang".
Bagaimanapun, IAA menyatakan "tiada ancaman keselamatan terhadap trafik awam di ruang udara yang dikawal Ireland".
Menurut pihak berkuasa, pesawat berkenaan tidak memasuki ruang udara Ireland tetapi terbang melalui ruang udara yang dikawal Ireland pada jarak kira-kira 25 batu nautika (46.3km) dari pantai Ireland antara 1500 GMT dan 1900 GMT.
No comments:
Post a Comment