Thursday, March 26, 2015

Tentera kanak-kanak diselamatkan di Sudan


SEBAHAGIAN kanak-kanak yang dijadikan tentera kerahan di Sudan. - AGENSI


JUBA, Sudan Selatan – Lebih 250 orang tentera kanak-kanak, termasuk empat gadis dengan seorang daripadanya berusia sembilan tahun telah dibebaskan oleh kumpulan bersenjata, The Cobra Faction di negara ini.
Pembebasan itu dibuat di kampung Lekuangole di pedalaman negeri Jonglei manakala 400 orang lagi akan dibebaskan dalam beberapa hari akan datang.
Ini merupakan pembebasan kanak-kanak kali ketiga selepas perjanjian damai antara kumpulan tersebut dengan kerajaan Sudan Selatan.
Suruhanjaya Perlucutan Senjata, Menghentikan Kerahan dan Mengintegrasi Semula Kebangsaan (NDDRC) dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) sedang bekerjasama untuk menjaga kanak-kanak tersebut dan mengintegrasi semula mereka ke dalam masyarakat.
The Cobra Faction telah memaklumkan UNICEF bahawa mereka mempunyai sehingga 3,000 orang tentera kanak-kanak dalam kumpulan tersebut.
Dalam satu majlis rasmi di kampung Lekuangole, kanak-kanak itu dihentikan kerahan oleh NDDRC yang menggantikan uniform dan senjata mereka dengan pakaian awam.
UNICEF kemudian mengambil tanggungjawab untuk menjaga kanak-kanak berkenaan di sebuah pusat jagaan peralihan di kampung tersebut dengan menyediakan makanan, perlindungan dan kemudahan perubatan sebelum menjejak kembali ahli keluarga kanak-kanak tersebut.
Pembebasan itu merupakan yang terbesar setakat ini dengan 654 kanak-kanak telah didaftarkan oleh UNICEF dan NDDRC.
Wakil UNICEF di negara ini, Jonathan Veitch menjelaskan, pembebasan kali ini menjadikan jumlah tentera kanak-kanak yang dihentikan kerahan kepada 1,314 orang. – Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0325&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz3VJvi5rCN 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment