Penemuan tuala tertera logo MAS di sebuah pantai di Barat Australia sedang disiasat untuk menentukan apakah ia mempunyai kaitan dengan pesawat MH370 yang masih hilang. – Agensi
CANBERRA 10 Mac - Sebungkus tuala kecil tertera logo syarikat penerbangan Malaysia Airlines (MAS) ditemukan di pantai di Barat Australia, empat bulan selepas pesawat MAS MH370 dilaporkan hilang pada 8 Mac tahun lepas.
Portal berita Daily Mail yang memetik Nine News melaporkan tuala lembap itu ditemukan oleh sepasang suami isteri yang sedang bersiar-siar di pantai Thirsty Point di Cervantes, 200 kilometer dari utara Perth, pada Julai lalu.
Pasangan itu menemukan bungkusan itu dalam keadaan tidak terbuka dan tanpa sebarang kerosakan.
Akhbar Daily Telegraph melaporkan, pakar percaya terdapat kemungkinan bungkusan kecil seperti tuala itu boleh dihanyutkan dalam jarak jauh tanpa mengalami sebarang kerosakan.
Nine News juga melaporkan bahawa tuala tersebut telah dihantar ke Canberra untuk dianalisis untuk menentukan sama ada terdapat kaitan dengan misteri kehilangan pesawat MH370.
Dalam pada itu, penyiasat berkata, penemuan tuala tersebut mungkin tidak mempunyai kaitan dengan misteri kehilangan pesawat berkenaan.
Biro Keselamatan Pengangkutan Australia yang mengetuai pencarian di dasar laut dan menemukan pelbagai barangan di pantai-pantai berkata, penemuan tuala kecil itu tidak akan memberi petunjuk baharu dalam usaha mencari pesawat tersebut.
“Tuala lembap berukuran 6x8 sentimeter dengan logo MAS ditemukan di Thirsty Point pada 2 Julai tahun lepas dan diserahkan kepada polis Barat Australia.
“Barang tersebut tidak mempunyai petunjuk unik yang boleh dikaitkan dengan pesawat MH370,’’ kata biro itu dalam satu kenyataan yang dilaporkan oleh media Australia.
Pesawat Boeing 777-200 itu hilang ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.
Analisis data satelit mencadangkan pesawat MH370 itu terhempas di selatan Lautan Hindi selepas kehabisan minyak. – AFP/Agensi
No comments:
Post a Comment