Friday, April 17, 2015

400,000 penjawat awam masih terima gaji serendah RM805 sebulan



Terdapat 400,000 penjawat awam di negara ini masih menerima gaji serendah RM805 sebulan, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda.
Beliau berkata, mereka yang menerima gaji sedemikian kebanyakannya adalah pembantu am dan pemandu yang masuk ke perkhidmatan awam menggunakan kelayakan
Penilaian Menengah Rendah (PMR).
"Yang menerima gaji minimum itu ialah golongan pelaksana dan mereka adalah rakyat serta aset kepada kerajaan dan negara. Jika aset ini tidak dijaga, kita bimbang mereka terkesan dan tidak dapat menumpukan sepenuhnya jiwa dan raga untuk meningkatkan produktiviti.

Selain itu, mereka juga tidak akan dapat memberikan pendidikan yang baik kepada anak-anak disebabkan kewangan yang tidak mencukupi, di samping tidak mampu menanggung kos kesihatan yang kini meningkat 120%,” katanya. Azih berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Forum Ekonomi Penjawat Awam 2015 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tuntutan Cuepacs yang mahukan kerajaan menaikkan gaji kakitangan awam sebanyak 35% bagi menjadikan RM1,200 sebulan sebagai gaji minimum.

Azih berkata pihaknya berharap kerajaan dapat memberi pertimbangan sewajarnya kepada permintaan tersebut memandangkan kos sara hidup kini meningkat di kawasan bandar-bandar utama.
"Kita faham kedudukan kewangan kerajaan berubah mengikut pertambahan bilangan rakyat. Tetapi evolusi yang berlaku menyebabkan kos sara hidup meningkat di bandar-bandar utama.
"Di Johor contohnya, penjawat awam sudah hampir tidak boleh hendak menyesuaikan kehidupan," jelasnya.
Selain meningkatkan gaji, kongres itu juga meminta kerajaan agar menyemak semula kadar pengecualian cukai pendapatan penjawat awam sehingga 100% sebagai mengurangkan bebanan kos sara hidup yang terpaksa ditanggung masa kini. – Bernama

No comments:

Post a Comment