KAHERAH - MESIR . Pembantu kepada bekas Presiden Mesir, Mohammed Mursi, kelmarin dijatuhi hukuman penjara tiga tahun selepas didapati bersalah menyalahgunakan kuasa.

Rafaa el-Tahtawi yang pernah berkhidmat sebagai ketua turus di bawah pemerintahan Mursi didakwa mengambil individu yang dilarang berkhidmat dalam perkhidmatan awam.

Jurucakap Mahkamah Jenayah di Kaherah memberitahu lelaki yang diambil bekerja oleh Rafaa itu adalah bekas banduan yang pernah meringkuk di dalam penjara pada 1990-an.

Difahamkan, lelaki tersebut juga dikenakan hukuman penjara 12 bulan oleh mahkamah kerana menerima jawatan itu.

Pada Sabtu lalu, mahkamah sama turut menjatuhkan hukuman mati ke atas Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin, Mohamed Badie bersama 11 lagi tertuduh yang didakwa menghasut keganasan selepas Mursi digulingkan pada Julai 2013.

Selain itu, seramai 23 defendan lain termasuk bekas jurucakap Ikhwanul, Gehad Haddad dihukum penjara seumur hidup atas kesalahan sama. - Press TV