Kemboja 'simpan' enam juta periuk api
Dua kanak-kanak perempuan Kemboja menjadi kudung akibat periuk api.
KEMBOJA antara negara yang mencatat kematian atau kecacatan tertinggi kesan daripada periuk api.

Ini kerana, terdapat hampir enam juta periuk api masih tertanam dan gagal dikesan di kebanyakan kawasan di seluruh kemboja.

Situasi itu menambah penderitaan rakyat kemboja yang rata-ratanya hidup di bawah paras kemiskinan.

Kebanyakan mangsa terbunuh apabila terpijak periuk api, namun mangsa terselamat mengalami kecacatan kekal terutama kudung.

Periuk api mula ditempatkan di seluruh Kemboja sejak perang saudara pada lewat 1960-an dan awal 1970-an.

Dilaporkan, ratusan ribu periuk api telah ditanam di seluruh Kemboja ketika tentera Vietnam menjajah negara itu pada 1980-an.

Tentera Kemboja sendiri dikatakan menambah jumlah periuk api berkenaan ketika kejatuhan kerajaan komunis pada 1990-an.

Menurut beberapa laporan, Kemboja merupakan negara paling banyak orang kudung per kapita di dunia.

Dilaporkan, 80 peratus daripada mangsa kejadian terpijak periuk api tersebut merupakan lelaki.

Statistik turut mendedahkan bahawa, seramai 6,000 kanak-kanak lelaki cedera atau maut, manakala 4,750 wanita dan 1,367 kanak-kanak perempuan turut menjadi mangsa.