Friday, April 24, 2015

Peraturan baharu cermin gelap 1 Mei



ILUSTRASI peraturan cermin gelap baharu JPJ.


MELAKA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tetap akan menguatkuasakan peraturan baharu berhubung penggunaan cermin gelap bermula 1 Mei ini selepas rancangan awal untuk melaksanakannya 1 November tahun lalu ditunda.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Ismail Ahmad (gambar kecil) memberitahu, beberapa operasi telah berjalan secara berterusan sejak tahun lalu untuk memastikan orang ramai tahu mengenai peraturan baharu itu.
“Melalui sekatan yang dilakukan, tindakan telah diambil ke atas pemilik kenderaan yang tidak mematuhi spesifikasi kadar ketelusan cahaya yang dibenarkan.
“Peraturan baharu ini akan dikuatkuasakan secara berterusan. Kenderaan mewah yang menggunakan cermin gelap juga tidak terkecuali untuk dikenakan tindakan sekiranya mereka tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Hari JPJ 2015 peringkat negeri Melaka di Bukit Katil di sini semalam.
Menurut Ismail, kadar ketelusan cahaya yang dibenarkan ialah 70 peratus untuk cermin hadapan, cermin sisi hadapan (50 peratus) manakala 30 peratus untuk cermin sisi belakang dan cermin belakang.
Penguatkuasaan itu tertakluk di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991. Pengguna jalan raya yang ingkar boleh dikompaun RM300 dan sekiranya kes tersebut dibawa ke mahkamah mereka boleh didenda sehingga RM1,000 atau penjara dua minggu atau kedua-duanya. – Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0424&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_09.htm#ixzz3YBA67Kpd 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment