Thursday, April 16, 2015

Qatar Airways Syarikat Penerbangan Paling Boleh Dipercayai Di Dunia, MAS Tangga Ke-16


Diterbitkan: Rabu, 15 April 2015 4:59 PM

LONDON: Syarikat Penerbangan Qatar atau Qatar Airways telah dinamakan syarikat penerbangan paling boleh dipercayai di dunia kerana ketepatan masanya dan juga rangkaian pesawatnya yang moden.
Qatar Airways juga turut menjadi pilihan kerana caj tambahannya yang minimal berbanding syarikat penerbangan yang lain.
Penilaian tersebut yang dilakukan oleh laman web pengembaraan, WanderBat, menilai kebolehpercayaan syarikat-syarikat penerbangan besar dan popular dunia dalam mengurus jadual penerbangan, rekod penerbangan dan juga kos operasi bagasi.
Qatar Airways menerima markah sempurna, 100 mata diikuti oleh Emirates yang memperolehi 97 mata manakala di tempat ketiga ialah China Eastern yang mendapat 97 mata juga.
Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS), di sebalik segala macam masalah dalaman yang dihadapinya ditambah dengan dua malapetaka yang melanda pesawatnya - mengorbankan lebih 500 penumpang dalam tempoh setahun - masih berupaya mendapat tempat ke-16 dengan catatan 85 mata mengatasi syarikat-syarikat ternama yang lain seperti Southwest Airlines (17), Qantas (18), Aeroflot (19), China Airlines (20), Philippine Airlines (21) dan Air Berlin (22).
Pesaing terdekat MAS, Singapore Airlines menduduki tempat keempat dengan catatan 96 mata manakala China Southern Airlines di tempat kelima dengan 93 mata dan yang paling memeranjatkan ialah syarikat penerbangan dari benua Afrika, Ethiopian Airlines menduduki tangga keenam dengan 92 mata.
Ia malah berada di atas syarikat yang lebih popular dan ternama seperti British Airways yang berada diranking kelapan dengan kutipan 91 mata.
Penilaian ini menunjukkan syarikat-syarikat penerbangan dari negara Asia, Asia Barat dan Afrika telah jauh mengatasi syarikat penerbangan dari Eropah dan Amerika Syarikat dari segi perkhidmatan dan kebolehpercayaan.
Sebaliknya, hanya sebuah syarikat penerbangan Amerika yang tersenarai dalam penilaian kebolehpercayaan ini iaitu Southwest Airlines dan itu pun hanya menduduki tangga ke-17.
Di dalam penilaiannya, WanderBat, turut melihat dari sudut beberapa aspek dan faktor yang berlainan dalam usahanya untuk membentuk satu rating yang bijak dan hanya menilai syarikat-syarikat penerbangan antarabangsa yang dianggap terbaik sahaja.
Antara lain ia melihat dari sudut pencapaian mengikut ketepatan masa berlepas dan mendarat, kos caj bagasi (berapa banyak bagasi yang dibenarkan daftar masuk tanpa caj tambahan malah kos ke atas caj bagasi tambahan.
Ia juga menilai usia pesawat dan sejauh manakah sesebuah syarikat penerbangan itu menambah baik rangkaian pesawat mereka.
Jika sesebuah syarikat penerbangan itu terikat dengan mata yang sama, maka penilaian seterusnya akan dilakukan ke atas syarikat manakah yang bertolak mengikut jadual yang ditetapkan.
BERIKUT ADALAH SENARAI PENUH 22 BUAH SYARIKAT PENERBANGAN ANTARABANGSA PALING BOLEH DIPERCAYAI DI DUNIA:
1. Qatar Airways - 100 Mata
2. Emirates - 97
3. China Eastern - 97
4. Singapore Airlines - 96
5. China Southern Airlines - 93
6. Ethiopian Airlines - 92
7. Air China - 92
8. British Airways - 91
9. Saudia - 90
10. Cathay Pacific - 90
11. Lan - 88
12. Tam Airlines - 88
13. Japan Airlines - 87
14. Egyptair - 87
15. Eithad Airways - 86
16. Malaysia Airlines - 85
17. Southwest Airlines - 84
18. Qantas - 87
19. Aeroflot - 80
20. China Airlines - 80
21. Philippine Airlines - 80
22. Air Berlin - 79

No comments:

Post a Comment