WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Senat Amerika Syarikat (AS) kelmarin, membuat undian melarang penyeksaan semasa soal siasat dengan tujuan  menamatkan kekejaman seperti yang dilakukan kepada suspek serangan 11 September 2001.

Menurut  AFP, langkah itu disambut baik apabila mendapat 78 undi sokongan, termasuk semua anggota Demokratik dan 32 ahli Republik, manakala 21 lagi menolak.

Antara menyokong termasuk, John McCain, yang pernah diseksa di Vietnam, di mana beliau merupakan seorang tahanan perang selama lebih lima tahun selepas ditembak di Hanoi pada 1967.

"Pindaan ini memberi jaminan bahawa AS tidak akan lagi menggunakan segala kekerasan untuk keperluan keselamatan jangka pendek," katanya.

Difahamkan, larangan tersebut diluluskan dalam bentuk pindaan kepada Akta Pertahanan Kebenaran Kebangsaan 2016, yang masih dalam perbincangan Kongres.

Dalam satu laporan dikeluarkan Senator Dianne Feinstein akhir tahun lalu, beliau menjelaskan bahawa Agensi Perisikan Pusat (CIA) menggunakan teknik kejam seperti Waterboarding dan memberi makan rektum sebagai langkah penyeksaan.