Beijing: Beberapa jabatan kerajaan tempatan di Xinjiang, wilayah barat jauh di China, meningkatkan kawalan terhadap penduduk Islam, khususnya etnik Uighur, menjelang Ramadan, termasuk memaksa pegawai berikrar untuk tidak berpuasa.
Bulan suci itu yang bermula hari ini, dianggap tempoh sensitif di Xinjiang berikutan dakwaan Beijing kononnya penduduk Islam di wilayah itu bertanggungjawab terhadap keganasan sepanjang tiga tahun lalu hingga mengorbankan ratusan nyawa.
Sejak beberapa hari lalu, media dan laman web kerajaan di Xinjiang menyiarkan berita dan notis rasmi kerajaan mendesak anggota parti, kakitangan kerajaan, pelajar dan guru supaya tidak berpuasa, sama seperti yang dilakukan tahun lalu.
Di Jinghe, daerah yang bersempadan dengan Kazakhstan, pegawai keselamatan berkata minggu lalu, mereka akan memantau dan menggalakkan restoran halal menjalankan perniagaan seperti biasa sepanjang Ramadan.
Restoran yang berbuat demikian tidak akan diserbu pegawai pemeriksa makanan.
Beberapa institusi lain kerajaan juga mengeluarkan arahan serupa.
Di daerah Maralbexi, tempat 21 orang terbunuh dalam kekacauan pada 2013, pegawai parti dipaksa berikrar secara lisan dan bertulis bahawa mereka ‘tidak ada kepercayaan kepada agama, tidak akan menghadiri aktiviti keagamaan dan tidak akan berpuasa sepanjang Ramadan.’
Kumpulan Uighur yang hidup dalam buangan dan aktivis hak asasi manusia berkata, dasar kerajaan China di Xinjiang, termasuk menyekat amalan keagamaan, menyemarakkan keganasan.
Beijing menafikan dakwaan itu.
Dalam kenyataannya, Dilxat Raxit, jurucakap Kongres Uighur Sedunia, berkata: “KeIslaman etnik Uighur dipolitikkan. Tindakan itu akan mencetuskan lebih banyak bantahan ganas.”
Jurucakap kerajaan Xinjiang yang dihubungi untuk mengulas perkembangan itu enggan menjawab panggilan telefon.
Pihak berkuasa Xinjiang sering menafikan dakwaan mereka menghalang penduduk Islam berpuasa, tetapi mengaku pegawai dan golongan muda berusia bawah 18 tahun diharamkan menyertai aktiviti keagamaan.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2015 @ 11:05 AM
No comments:
Post a Comment