Saturday, June 6, 2015

Perwakilan PAS 'Belasah' Harakah


Diterbitkan: Sabtu, 6 Jun 2015 1:42 PM

KUALA SELANGOR: Lidah rasmi PAS, Harakah didakwa menjadi punca kepada wujudnya persepsi kononnya berlaku perpecahan antara kumpulan ulama dan profesional dalam  parti Islam itu. 
Perwakilan Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, Harakah gagal mengetengahkan potensi sebenar wakil rakyat dari kumpulan ulama khususnya dalam menjuarai isu ekonomi dan semasa. 
"Ulama kita juga bercakap soal isu semasa, masalah ketirisan, cukai barang dan perkhidmatan (GST), isu rakyat, 1MDB... semua ulama kita bercakap isu yang sama. 
"Tapi mengapa Harakah tonjolkan seolah-olah adik-adik, abang-abang kita hanya bercakap isu agama sahaja? 
"Saya harap selepas ini Harakah sebagai media rasmi kita perlu bentuk persepsi baharu, ulama yang memimpin kita bukan sahaja bercakap semata-mata soal agama," katanya ketika membahaskan usul pengurusan organisasi pada Muktamar Tahunan PAS ke-61 di sini, Sabtu. 
Usul itu antara lain menuntut supaya PAS Pusat mewujudkan Jawatankuasa Khas bagi memantau pencapaian Adun dan Ahli Parlimen sepanjang perkhidmatan mereka. 
Mengulas lanjut mengenai laporan Harakah, Ahmad Amzad juga mendakwa media rasmi PAS itu bersifat berat sebelah apabila lebih menonjolkan pemimpin parti sekutu dalam pakatan pembangkang berbanding pimpinan parti itu sendiri. 
"Media rasmi kita lebih menonjolkan prestasi Ahli Parlimen parti lain berbanding pemimpin kita. 
"Saya harap selain tubuh jawatankuasa pemantauan prestasi wakil rakyat kita, seluruh jentera kita yang ada hendaklah menonjolkan ahli-ahli Parlimen kita," katanya.

No comments:

Post a Comment