BRUSSELS - BAHRAIN. Bahrain digesa supaya menamatkan segala bentuk pencabulan hak asasi manusia di negara Teluk Parsi itu.

Semalam, Parlimen Eropah menerima pakai resolusi yang menggesa pembebasan segera dan tanpa syarat semua tahanan yang dipenjarakan atas kesalahan melanggar hak kebebasan bersuara.

Mereka termasuk beberapa wartawan, tahanan politik dan penunjuk perasaan yang mengadakan bantahan aman di seluruh negara.

Menurut laporan Press TV, resolusi itu turut meminta kerajaan Bahrain untuk segera memperbaiki keadaan hak asasi manusia di negara berkenaan.

"Kami juga menggesa pembebasan Presiden Hak Asasi Manusia bagi Bahrain (BCHR), Nabeel Rajab.

"Kes Rajab antara contoh penganiayaan dan pencabulan hak asasi manusia di Bahrain," kata ahli Parlimen Eropah, Alyn Smith.

Sejak 2011, pihak berkuasa Bahrain mengharamkan perhimpunan-perhimpunan  awam dan menghantar kereta kebal ke jalan-jalan  sekali gus memburukkan lagi cubaan untuk mengembalikan keamanan di negara itu.

Menteri Luar Bahrain, Khalid Al Khalifa menegaskan tindakan itu wajar kerana penunjuk perasaan telah membahayakan negara dan menjurus kepada perselisihan mazhab.