Wednesday, July 15, 2015

Ku Nan: kaji semula kebebasan media sosial


Kebebasan media sosial di negara ini perlu dikaji semula untuk memastikan ia tidak menjejaskan keharmonian antara kaum, kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau merujuk kepada insiden di Plaza Low Yat pada Ahad lepas apabila rusuhan berlaku dan terdapat pengguna internet atau netizen menyebarkan maklumat palsu dan mengapi-apikan pergaduhan.

"Saya fikir kita perlu lihat kepada kebebasan media sosial sekali lagi kerana pelbagai perkara disebarkan... mungkin 20 peratus fakta dan 80 peratus pembohongan," katanya kepada pemberita semasa melawat Plaza Low Yat hari ini.

"Saya fikir kita perlu ikut apa yang perdana menteri kata dan memastikan maklumat (yang boleh mencetuskan masalah) tidak disebarkan menerusi media sosial.

"Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia pada kaji perkara ini."

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa orang ramai untuk tidak menyalahgunakan maklumat yang boleh memburukkan lagi keadaan susulan insiden itu.

Beliau tidak mahu situasi itu dijadikan isu perkauman.

Tengku Adnan yang juga setiausaha agung Umno, mengingatkan netizen untuk tidak memainkan sentimen perkauman.

"Perpaduan dalam kepelbagaian kaum yang membuatkan Malaysia menjadi seperti apa yang ia wujud sekarang. Kita telah memupuk dan mengecapi keamanan dan keharmonian selama 58 tahun. Jadi, jangan lakukan sesuatu yang boleh mencetuskan sebarang masalah perkauman," katanya.

- Bernama

No comments:

Post a Comment