Wednesday, July 15, 2015

Tukar Najib tidak memadai untuk rakyat – Anwar Ibrahim

Rakyat yang semakin tertekan dengan kos hidup yang semakin meningkat mahukan perubahan menyeluruh melibatkan sistem pentadbiran dan kerajaan.
PETALING JAYA: Usaha untuk menukar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan digantikan dengan Perdana Menteri baharu tidak memadai untuk rakyat yang kini semakin tertekan.
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, adalah sia-sia jika setiap tahun pimpinan atasan ditukar tetapi sistem yang korup dan usang masih tidak lagi berubah.
Katanya, rakyat memerlukan perubahan yang menyeluruh dalam kerajaan dan pentadbiran .
“Usaha menukar Datuk Seri Najib yang dikepalai Tun Dr Mahathir Mohamad, tanpa reformasi sebenar, hanya akan memuaskan kelompok-kelompok kroni mereka.
“Ia tidak akan membawa perubahan sebenar buat rakyat,” katanya menerusi kenyataan yang dihantar oleh Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.
Anwar membuat kenyataan itu menerusi peguamnya.
Beliau berkara, rakyat di bandar, pekan dan kampung mahukan perubahan dan reformasi.
“BN mesti mengambil tanggung jawab sepenuhnya di atas keadaan yang kita hadapi sekarang ini.
“Amalan rasuah, salah guna kuasa, keangkuhan dan tatakelola yang teramat teruk telah menyebabkan Malaysia jadi begini. Keruntuhan ekonomi Greece sepatutnya menjadi amaran apa yang mungkin berlaku kepada negara yang kita cintai ini,” ujar beliau lagi.
Anwar menegaskan Najib kini telah melakar sejarah baru buat negara.
“Buat pertama kali dalam sejarah kita, seorang Perdana Menteri disiasat atas dakwaan penyelewengan wang,” jelasnya lagi.
Dalam perutusan itu juga, Anwar menyatakan perubahan institusi utama seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Jabatan Peguam Negara dan pihak polis amat diperlukan.
Beliau mendakwa, agensi-agensi itu selama ini telah gagal membendung kegiatan rasuah dan salah guna kuasa.
Selain itu, Anwar juga menuntut perubahan sistem pilihan raya, seperti yang digesa BERSIH, serta pemansuhan Akta Hasutan serta undang-undang antidemokrasi lain.
“Pada masa sama, Akta Hasutan dan pelbagai jenis undang-undang lain yang bersifat kuku besi masih digunakan untuk menutup mulut rakyat,” katanya.

No comments:

Post a Comment