Johan |
SHAH ALAM - Tindakan kerajaan menarik balik pertukaran serta-merta dua pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan satu langkah positif ke arah mengembalikan keyakinan rakyat bahawa SPRM dan pegawai-pegawainya akan terus melaksanakan tanggungjawab mereka tanpa halangan.
Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, Tan Sri Johan Jaaffar berkata, ia juga memenuhi tugas dan tanggungjawab dengan bebas, telus dan profesional seperti yang dikehendaki oleh Akta SPRM.
“Panel percaya keputusan ini adalah tepat pada masanya dan sesuatu yang signifikan ke arah menangani isu persepsi bahawa pegawai SPRM telah di intimidasi dalam menjalankan tugas mereka.
“Panel mengalu-alukan keputusan membatalkan arahan pertukaran membabitkan dua pegawai kanan SPRM ke Jabatan Perdana Menteri,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Pegawai berkenaan adalah Pengarah Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Bahri Mohamad Zin; dan Pengarah Komunikasi Strategik SPRM, Datuk Rohaizad Yaakob.
[ ARTIKEL BERKAITAN: Batal tukar: KSN puas hati penjelasan pegawai SPRM ]
Pagi tadi kedua-dua pegawai berkenaan dibatalkan pertukaran ke JPM selepas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan.
Ali berkata, beliau dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal telah berjumpa dengan kedua-dua pegawai itu bagi mendapatkan penjelasan.
“Kedua-dua mereka memberikan penjelasan mengenai tindakan mengeluarkan kenyataan media.
“Susulan dengan penjelasan tersebut, saya telah membuat keputusan membatalkan pertukaran kedua-dua pegawai ke JPM dan kembali ke jawatan asal masing-masing di SPRM berkuat kuasa 10 Ogos 2015 (hari ini),” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam masa sama, panel berharap langkah ini akan meningkatkan lagi semangat pegawai-pegawai SPRM.
“Panel juga menghargai kedua-dua Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal atas peranan mereka dalam membatalkan keputusan yang dibuat sebelum ini.
“Panel juga percaya keputusan ini akan membantu membendung rasa tidak percaya dan sinis orang ramai terhadap kerajaan,” katanya.
No comments:
Post a Comment